Ahad, 18 Julai 2021 | 10:11am

Polis Baghdad tahan kumpulan bersenjata serang hospital

BAGHDAD: Polis Baghdad semalam memaklumkan, sekumpulan lelaki bersenjata ditahan kerana disyaki menyerang sebuah hospital utama di ibu kota Iraq.

Sumber keselamatan pula memberitahu AFP, serangan itu berlaku susulan kematian empat pesakit COVID-19 yang dikatakan akibat bekalan oksigen terputus.

"Pasukan keselamatan berjaya menahan sekumpulan individu bersenjata yang dituduh menyerang Hospital al-Kindi," kata polis dalam satu kenyataan.

Menurut sumber keselamatan, kira-kira 10 individu disyaki terbabit dalam serangan itu dan kesemua mereka sudah diberkas.

Sumber itu memaklumkan, mereka adalah ahli keluarga kepada salah seorang daripada empat pesakit yang dikatakan meninggal dunia apabila alat bantuan pernafasan terpadam akibat gangguan bekalan elektrik.

Hospital negara ini dilaporkan kerap bergelut dengan keadaan sukar berikutan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, dua kes kebakaran unit COVID-19 dilaporkan berlaku dalam tempoh kurang tiga bulan.

Salah satu kebakaran itu mengorbankan lebih 80 orang di Baghdad, April lalu, manakala kejadian terbaru pada Isnin lalu pula meragut sekurang-kurang 60 nyawa di selatan Nassiriya.

Sejak pandemik itu melanda Iraq yang mencatat lebih 17,700 kematian, setakat ini, unit COVID-19 ditubuhkan secara tergesa-gesa bagi menampung keperluan rawatan pesakit.

Negara ini juga dilaporkan berterusan mengalami masalah gangguan bekalan elektrik. - AFP

Berita Harian X