Khamis, 10 Jun 2021 | 7:09pm
Pusat pembakaran mayat terbuka sementara Giddenahalli yang menyaksikan upacara pembakaran ribuan mayat mangsa COVID-19 kini ditutup kerajaan negeri Karnataka di India berikutan penurunan kes baru. - Foto AFP
Pusat pembakaran mayat terbuka sementara Giddenahalli yang menyaksikan upacara pembakaran ribuan mayat mangsa COVID-19 kini ditutup kerajaan negeri Karnataka di India berikutan penurunan kes baru. - Foto AFP

India catat rekod dunia kematian COVID-19 dalam sehari

NEW DELHI: India hari ini mencatat kematian tertinggi COVID-19 di dunia dalam tempoh 24 jam selepas semakan semula statistik dari setiap negeri.

Menurut statistik Jabatan Kesihatan India, 6,148 penduduknya dilaporkan meninggal dunia akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif 359,695 kematian iaitu yang ketiga tertinggi di dunia.

Rekod dunia sebelumnya mengikut penjumlahan AFP adalah 5,527 kematian sehari di Amerika Syarikat (AS) pada 12 Februari lalu.

Semalam, Bihar, negeri di bahagian timur India, merekodkan peningkatan jumlah kematiannya iaitu sekitar 4,000 kes, selepas semakan semula jumlah korban dilakukan.

Mahkamah tinggi Bihar di Patna menuntut audit terhadap angka itu berikutan terdapat tuduhan pihak berkuasa tempatannya menyembunyikan skala jangkitan dan kematian.

Dakwaan sama turut dilemparkan terhadap pemerintah negeri lain susulan lonjakan jangkitan COVID-19 baru-baru ini, yang menyaksikan banyak tempat pengebumian dibanjiri mayat.

Selain itu, ratusan mayat mangsa coronavirus dibuang begitu saja ke sungai atau dikebumikan dalam kubur cetek.

Dengan pengendalian rekod yang lemah, walaupun ketika keadaan biasa, kebanyakan pakar percaya jumlah kematian India jauh lebih tinggi berbanding jumlah rasmi, yang dianggarkan melebihi satu juta orang atau tertinggi di dunia. - AFP

Berita Harian X