Selasa, 25 Mei 2021 | 11:28am
 Jepun bercadang melanjutkan darurat menjelang Sukan Olimpik yang bakal dianjurkan dua bulan lagi. - Foto fail AFP
Jepun bercadang melanjutkan darurat menjelang Sukan Olimpik yang bakal dianjurkan dua bulan lagi. - Foto fail AFP

Jepun cadang lanjut darurat selepas 31 Mei

TOKYO: Kerajaan Jepun bercadang melanjutkan darurat COVID-19 di Tokyo, Osaka dan beberapa wilayah selepas 31 Mei berikutan jangkitan belum reda yang kini menjejaskan sistem perubatan negara itu.

Menurut sumber, satu cadangan sedang dibincangkan untuk sembilan wilayah diberi tarikh baharu sehingga 20 Jun, sama seperti Okinawa, yang diletakkan di bawah perisytiharan darurat pada Ahad.

Memetik laporan Kyodo News, sumber berkata, satu lagi tarikh adalah pada 13 Jun.

Perdana Menteri Yoshihide Suga akan memutuskan tempoh lanjutan dalam seminggu selepas meneliti data jangkitan baharu dan kapasiti hospital serta berunding dengan pakar kesihatan.

Seorang pegawai kanan mengatakan tempoh lanjutan berbeza mengikut keadaan di setiap wilayah.

Darurat ketiga Jepun berkuat kuasa di Tokyo, Osaka, Hyogo dan Kyoto pada 25 April, kemudian dilanjutkan dari tarikh akhir awal 11 Mei hingga 31 Mei.

Kawasan yang terjejas diperluas ke Aichi dan Fukuoka, dan sekali lagi ke Hokkaido, Okayama dan Hiroshima.

Daripada sembilan wilayah, Osaka dan Hyogo sudah merancang untuk memohon kerajaan melanjutkan keadaan darurat, menurut pegawai wilayah semalam.

Osaka akan memuktamadkan cadangan itu dalam pertemuan hari ini berdasarkan keadaan wabak semasa, dengan mempertimbangkan tekanan sistem perubatan. Hyogo pula akan membuat keputusan akhir minggu ini.

"Sistem perubatan berada dalam keadaan teruk. Kami perlu membuat keputusan selepas mempertimbangkannya," kata Gabenor Osaka, Hirofumi Yoshimura kepada wartawan.

Osaka semalam mengesahkan 216 kes harian baharu, turun daripada 274 kes yang dicatat hari sebelumnya.

Walaupun kes jangkitan menurun, penggunaan katil pesakit COVID-19 di hospital mencatatkan lebih 80 peratus.

Hyogo melaporkan 86 jangkitan semalam, kali pertama jumlahnya jatuh di bawah 100 dalam tempoh sebulan setengah. Kadar penggunaan katil pesakit COVID-19 pula mencecah 77.4 peratus.

Gabenor Hyogo, Toshizo Ido menyatakan bahawa sukar untuk menamatkan darurat pada tarikh yang ditetapkan.

Perkembangan di wilayah barat Jepun terjadi ketika pusat vaksinasi COVID-19 yang dikendalikan negara itu dibuka di Tokyo dan Osaka bagi mempercepatkan program inokulasi dengan hanya tinggal dua bulan sebelum Sukan Olimpik. - BERNAMA

Berita Harian X