Isnin, 24 Mei 2021 | 12:15pm
 Foto AFP
Foto AFP

Osaka kritikal akibat COVID-19, syor tangguh Olimpik

OSAKA: Hospital di bandar raya kedua terbesar di Jepun, di sini berdepan situasi kritikal susulan gelombang baharu jangkitan COVID-19 dengan kumpulan doktor perubatan memberi amaran sistem kesihatan berpotensi untuk lumpuh dan turut menyarankan penangguhan Olimpik.

Ketika ini, katil hospital dilaporkan penuh dengan alat bantuan pernafasan dan ventilator semakin berkurangan.

Pada Khamis lalu, 96 peratus daripada 348 katil hospital yang disediakan untuk kes COVID-19 sudah digunakan.

Sejak Mac lalu, 17 orang meninggal dunia akibat wabak itu di luar hospital, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan pada bulan ini.

Osaka yang dihuni sembilan juta penduduk itu sedang melalui gelombang pandemik keempat dan menyumbang satu pertiga daripada jumlah kematian di seluruh negara bagi bulan ini.

Osaka berdepan cabaran besar khususnya menjelang penganjuran Olimpik dalam tempoh dua bulan lagi dan buat masa ini, cuma separuh daripada petugas perubatan sudah melengkapkan inokulasi.

"Secara asasnya, sistem kesihatan sudah lumpuh.

"Varian United Kingdom yang menular dengan sangat cepat dan amalan berwaspada yang berkurangan antara punca utama peningkatan kes," kata Pengarah Hospital Universiti Kindai, Osaka, Yuji Tohda.

Gelombang keempat COVID-19 di Jepun menyebabkan peningkatan mendadak jangkitan baharu dengan 3,849 kes direkodkan dalam masa seminggu.

Jumlah itu adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding kes COVID-19 tiga bulan lalu.

Hanya 14 peratus daripada 13,770 pesakit COVID-19 di hospital dirawat di hospital, manakala sebahagian besar lagi berada di kediaman masing-masing.

Setakat ini, kadar kemasukan ke hospital di Tokyo adalah 37 peratus.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Bahagian Ubatan Kecemasa, Hospital Universiti Perubatan dan Farmasi Osaka (OMPUH), Akira Takasu, berkata penganjuran Olimpik perlu dihentikan mengambil kira situasi kritikal ketika ini.

"Kita gagal untuk mengekang varian baharu dari UK dan berkemungkinan terpaksa berdepan jangkitan berasal dari India.

"Jika ia dianjurkan, 70,000 atau 80,000 atlet dan orang ramai dari seluruh dunia akan datang ke sini dan ini tentu akan menyebabkan bencana lebih besar pada musim panas akan datang," katanya.

Untuk rekod, Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan pada Mac tahun lalu susulan penularan COVID-19 dan tarikh baharu penganjurannya ditetapkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan. - AGENSI

Berita Harian X