Ahad, 16 Mei 2021 | 9:17am
Antara ribuan penyokong ulama Syiah, Muqtada al-Sadr, membakar bendera AS dan Israel ketika protes di Tahrir Square di tengah Baghdad, Iraq. - Foto EPA
Antara ribuan penyokong ulama Syiah, Muqtada al-Sadr, membakar bendera AS dan Israel ketika protes di Tahrir Square di tengah Baghdad, Iraq. - Foto EPA

Ulama Iraq lancar protes pro Palestin di Baghdad

BAGHDAD: Ribuan penyokong ulama Syiah berpengaruh di Iraq,Moqtada Sadr, mengadakan tunjuk perasaan di ibu kota Baghdad semalam bagi mengecam serangan berdarah Israel terhadap rakyat Palestin.

Mereka membawa sepanduk yang tertulis ''Baitulmaqdis milik kita' dan 'kematian kepada Israel' selain 'dunia menentang Palestin tapi tuhan menyokongnya' sambil mengibarkan bendera Iraq serta membawa gambar Sadr.

Dataran ikonik di Baghdad, Tahrir Square, dibanjiri penunjuk perasaan sambil menjunjung replika bendera Palestin bersaiz besar di atas kepala mereka.

Wakil Sadr di Baghdad, Sheikh Ibrahim al-Jabari, yang membacakan mesej beliau, menegaskan Iraq berdiri teguh dengan rakyat Palestin.

"Baik susah atau senang, kita bersama saudara kita di Palestin memperjuangkan hak mereka yang dirampas Israel.

"Israel berusaha segala mungkin untuk berdamai dengan Arab dan orang Islam, menjalin hubungan diplomatik yang didorong kepentingan ekonomi serta kewangan," katanya.

Kenyataan Sadr itu merujuk kepada termeterainya perjanjian diplomatik diusahakan Amerika Syarikat (AS) dan dipersetujui Israel tahun lalu, dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi.

Sementara itu, pakar menyifatkan tunjuk perasaan dianjurkan penyokong Sadr itu bertujuan menunjukkan kekuatan pemimpin itu menjelang pilihan raya Parlimen yang dijangka berlangsung pada Oktober depan.

Undian itu adalah tuntutan utama gerakan tunjuk perasaan anti kerajaan yang meletus pada 2018 dan membabitkan parti Sadr. - AFP

Berita Harian X