Sabtu, 15 Mei 2021 | 9:12pm
Petugas kesihatan India memberi rawatan kepada seorang pesakit yang disyaki positif COVID-19. - Foto EPA
Petugas kesihatan India memberi rawatan kepada seorang pesakit yang disyaki positif COVID-19. - Foto EPA

Negeri di India kuat kuasa perintah berkurung

KOLKATA: Sebuah negeri di India yang teruk dilanda penularan COVID-19 selepas perhimpunan besar-besaran diadakan bagi satu pilihan raya penting, diarah melaksanakan perintah berkurung selama dua minggu, mulai hari ini, dalam usaha menghentikan jangkitan.

Semua pejabat, kedai dan pengangkutan awam di Benggala Barat diarah tutup selama 15 hari susulan peningkatan terbesar kes baharu dan kematian direkodkan di wilayah itu.

Benggala Barat bersama beberapa negeri selatan merekodkan lonjakan kes COVID-19 di India, menjadikan jumlah kumulatif di negara itu hampir 25 juta, membabitkan lebih 265,000 kematian.

Varian virus itu diisytiharkan sebagai 'kebimbangan global' oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Benggala Barat menyumbang 21,000 daripada 326,000 kes dilaporkan di India hari ini, dan hospital di negeri itu berkata, mereka dibanjiri pesakit.

Perdana Menteri, Narendra Modi, mengajak puluhan ribu orang berdemonstrasi di wilayah itu bulan lalu, menjelang pilihan raya negeri apabila parti nasionalis gagal mengalahkan Ketua Menteri, Mamata Banerjee.

Banerjee turut menganjurkan tunjuk perasaan berskala besar menjelang pemilihan, selain abangnya maut akibat COVID-19 di hospital, semalam, dengan kebanyakan pakar berkata, kempen pilihan raya adalah 'super spreader'.

Di negeri peranginan Goa, lebih 70 orang maut dalam tempoh empat hari akibat kekurangan oksigen di hospital, kata parti pembangkang di wilayah itu.

Mahkamah memerintahkan bekalan oksigen kecemasan dihantar ke Hospital Kolej Perubatan Goa bagi mengurangkan kematian.

Parti pembangkang utama negeri itu berkata, pesakit maut kerana kekurangan oksigen, sebaliknya kerajaan menjelaskan punca kematian belum dapat disahkan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Goa berkata, mereka sudah meminta Kerajaan Pusat menggandakan bekalan oksigen di negeri itu kepada 40 tan sehari.

Sekatan COVID-19 di Goa agak landai hingga gelombang jangkitan semasa.

Virus itu kini menyebabkan lebih 60 kematian sehari di rantau berkenaan dan Goa merekodkan antara kadar penularan tertinggi di India. - AFP

Berita Harian X