Sabtu, 8 Mei 2021 | 7:21am
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan tiada arahan rasmi mengenai pelaksanaan ibadah haji untuk tahun 2021. - Foto fail AFP
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan tiada arahan rasmi mengenai pelaksanaan ibadah haji untuk tahun 2021. - Foto fail AFP

Tiada perincian terbaharu musim haji 2021

JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, memaklumkan tiada arahan rasmi yang dikeluarkan mengenai pelaksanaan ibadah haji untuk tahun 2021, menurut kenyataan Al Arabiya.

Jurucakap rasmi kementerian itu, Hesham Abdulmonem Saeed, berkata Arab Saudi berminat untuk membolehkan umat Islam di seluruh dunia mengerjakan ibadah berkenaan.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa mahu mengutamakan keselamatan dan kesihatan jemaah," katanya.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdulfattah bin Sulaiman Mashat sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan menyambut jemaah umrah dari dalam dan luar negara, dengan syarat mereka perlu mengikuti syarat kesihatan melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakalna.

Sebelum ini, Malaysia masih belum menerima sebarang maklumat daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung keputusan larangan jemaah luar negara mengerjakan haji bagi tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dilaporkan berkata pihaknya akan cuba mendapatkan maklumat berhubung perkara itu daripada Kerajaan Arab Saudi, tetapi tidak dapat menjangka berapa lama keputusan akan diperoleh mengenainya.

"Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang maklumat berhubung larangan mengerjakan haji tahun ini daripada Arab Saudi, Insya-Allah saya akan dapatkan keputusan itu dan umumkan dalam masa terdekat," katanya. - Agensi

Berita Harian X