Rabu, 5 Mei 2021 | 6:09pm
Orang ramai beratur panjang bagi mengisi silinder oksigen di New Delhi, India untuk kegunaan pesakit COVID-19. - Foto AFP
Orang ramai beratur panjang bagi mengisi silinder oksigen di New Delhi, India untuk kegunaan pesakit COVID-19. - Foto AFP

Parti pembangkang India desak perintah berkurung dilaksanakan

NEW DELHI: Parti pembangkang utama India mendesak perintah berkurung dilaksanakan di seluruh negara dalam usaha menangani peningkatan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Gesaan itu susulan jumlah keseluruhan jangkitan coronavirus di India sudah mencecah 20,665,148 hari ini berikutan penambahan 357,229 kes dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut seorang jurucakap parti Kongres Nasional India (INC), Pawan Khera, sistem kesihatan awam negara itu semakin lumpuh akibat COVID-19 dan perintah berkurung amat perlu untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu.

"Ketika ini, kita tiada pilihan selain melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan memulihkan semula sistem kesihatan negara," katanya kepada BBC.

Sebelum ini, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, menolak usul mengenakan perintah berkurung di seluruh negara selepas sekatan demikian tahun lalu menyaksikan ekonomi India terjejas teruk.

Dalam pada itu, pemimpin kanan INC, Rahul Gandhi, turut menyokong saranan itu dan berpendapat ia satu-satunya jalan penyelesaian untuk menghentikan penularan virus terbabit.

India ketika ini bergelut untuk memerangi gelombang jangkitan COVID-19 yang lebih teruk berbanding tahun lalu.

Beberapa pakar sains berpandangan lonjakan kes jangkitan COVID-19 di negara itu berpunca daripada varian baharu dan varian yang dikesan di Britain.

India mencatat lonjakan kira-kira lapan juta kes baharu sejak hujung Mac lalu susulan dilanda gelombang luar biasa akibat kealpaan kerajaan mengadakan pilihan raya den membenarkan upacara keagamaan yang menyaksikan jutaan orang berhimpun.

Akibatnya, sistem penjagaan kesihatan India yang sememangnya kekurangan dana, menghadapi tekanan hebat kerana kekurangan katil, ubat dan oksigen.

Senario di perkarangan kebanyakan hospital di serata India amat menyayat hati dengan pesakit maut ketika menunggu rawatan atau kerana kekurangan oksigen.

Hari ini, Gabenor Reserve Bank of India, Shaktikanta Das, mengumumkan pinjaman mudah AS$6.7 bilion kepada pembuat vaksin, hospital, pengeluar oksigen, hospital

dan syarikat farmaseutikal terbabit dalam perang membendung COVID-19.

Usaha itu diharap dapat mengekang penularan berikutan pakar meramalkan jangkitan baharu mungkin mencecah 500,000 kes sehari menjelang akhir bulan ini. - AGENSI

Berita Harian X