Isnin, 26 April 2021 | 7:30am
 Ahli keluarga mengusung keranda mangsa yang terbunuh dalam kebakaran di Hospital Ibn al-Khatib. - Foto AFP
Ahli keluarga mengusung keranda mangsa yang terbunuh dalam kebakaran di Hospital Ibn al-Khatib. - Foto AFP

82 maut kebakaran hospital COVID-19 di Iraq

BAGHDAD: Lebih 80 maut dalam kebakaran membabitkan sebuah hospital untuk pesakit COVID-19 di bandar ini, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai dan penggantungan tugas pegawai tinggi yang memantau perkhidmatan kesihatan Iraq.

Kebakaran di hospital Ibn al-Khatib di timur Baghdad bermula selepas silinder oksigen yang disimpan secara salah meletup, kata pakar perubatan.

Sebahagian besar mangsa menggunakan alat pernafasan dan terbakar atau lemas akibat kebakaran itu.

"Kebakaran hanya mengambil masa tiga minit untuk sampai ke kebanyakan tingkat hospital," kata perkhidmatan kebakaran.

Kementerian Kesihatan berkata, 82 orang terbunuh dan 110 cedera, manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Iraq memaklumkan, 28 daripada mangsa ialah pesakit yang perlu dicabut ventilator daripada mereka untuk menyelamatkan diri.

Sumber perubatan berkata, api tercetus di beberapa tingkat pada tengah malam, ketika puluhan orang ramai melawat ahli keluarga mereka yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Anak seorang mangsa, Bakr Qazem, berkata dia berada di hospital dan mendengar satu letupan yang kuat.

"Kami melihat api dan tidak dapat menyelamatkan pesakit," katanya kepada AFP.

Kesedihan menyelubungi bandar itu apabila proses pengebumian berlangsung sepanjang hari, membabitkan sebahagian besar penganut Syiah di Iraq.

Perkhidmatan bomba Iraq memaklumkan, hospital itu tidak memiliki sistem perlindungan kebakaran dan siling palsu menyebabkan api merebak ke bahan yang sangat mudah terbakar.

"Katanya, pasukan bomba lewat tiba di hospital itu, yang terletak di kawasan terpencil di pinggir Baghdad. Perdana Menteri Mustafa al-Kadhemi, menggantung tugas Menteri Kesihatan, Hassan al-Tamimi, yang disokong pemimpin Syiah, Moqtada Sadr, selain gabenor Baghdad sebagai sebahagian daripada siasatan.

Kebakaran itu menimbulkan kemarahan di media sosial dan menuntut menteri kesihatan dipecat. - AFP

Berita Harian X