Ahad, 25 April 2021 | 8:02am
Sekurang-kurangnya 23 individu maut dalam kebakaran di unit rawatan rapi (ICU) COVID-19 di hospital Ibn al-Khatib di Baghdad, Iraq.
Sekurang-kurangnya 23 individu maut dalam kebakaran di unit rawatan rapi (ICU) COVID-19 di hospital Ibn al-Khatib di Baghdad, Iraq.

ICU COVID-19 di Iraq terbakar, 23 maut

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 23 individu maut dalam kebakaran di unit rawatan rapi (ICU) COVID-19 di hospital Ibn al-Khatib di Baghdad, Iraq, hari ini, kata sumber perubatan dan keselamatan kepada AFP.

Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada kerosakan yang berlaku pada simpanan silinder oksigen, kata sumber perubatan yang turut memaklumkan puluhan individu lagi cedera dalam insiden berkenaan.

Seorang sumber perubatan di hospital itu memberitahu AFP bahawa 30 pesakit berada dalam ICU itu yang dikhususkan untuk pesakit COVID-19 yang kritikal di Baghdad.

Pertahanan awam memberitahu agensi berita Iraq bahawa mereka menyelamatkan 90 daripada 120 pesakit dan ahli keluarga mereka di lokasi kejadian, namun tidak memperincikan jumlah individu yang maut dan cedera.

Video di media sosial menunjukkan anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di hospital Ibn al-Khatib di pinggir ibu negara Iraq itu, ketika pesakit dan ahli keluarga mereka melarikan diri dari hospital berkenaan.

Kebakaran itu, yang didakwa beberapa sumber berlaku kerana kecuaian yang kerap dikaitkan dengan amalan rasuah di Iraq, mencetus polemik dalam kalangan pengguna media sosial di negara itu.

Gabenor Baghdad, Mohammed Jaber, menggesa Kementerian Kesihatan Iraq menubuhkan suruhanjaya siasatan untuk memastikan pihak yang gagal melakukan tugas, dihadapkan ke muka pengadilan.

Walaupun pertahanan awam memaklumkan kebakaran itu berjaya dikawal, Kementerian Kesihatan Iraq masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau mengumumkan jumlah individu yang maut atau cedera setakat ini.

Jumlah kes COVID-19 di Iraq melepasi sejuta pada Rabu, sekali gus merekodkan jangkitan tertinggi di negara Arab.

Kementerian Kesihatan negara itu merekodkan sebanyak 1,025,288 kes dan 15,217 kematian akibat COVID-19 sejak pandemik itu dikesan di Iraq pada Februari tahun lalu. - AFP

Berita Harian X