Ahad, 4 April 2021 | 7:10pm
Pejalan kaki dilihat melintas jalan di kawasan Shinjuku, Tokyo di Jepun ketika bandar itu melaporkan 440 jangkitan baharu COVID-19. - Foto AFP
Pejalan kaki dilihat melintas jalan di kawasan Shinjuku, Tokyo di Jepun ketika bandar itu melaporkan 440 jangkitan baharu COVID-19. - Foto AFP

Varian 'Eek' COVID-19 yang membimbangkan ditemui di hospital Tokyo

TOKYO: Hampir 70 peratus pesakit COVID-19 di hospital Tokyo bulan lalu dikesan membawa varian mutasi yang mengurangkan perlindungan vaksin terhadap jangkitan.

Menurut laporan NHK hari ini, mutasi E484K, dikenali 'Eek' dalam kalangan saintis, ditemui pada 10 daripada 14 orang disahkan positif COVID-19 di Tokyo Medical and Dental University Medical Hospital Mac lalu.

Dalam tempoh dua bulan sehingga Mac lalu, 12 daripada 36 pesakit COVID-19 membawa mutasi itu, namun tiada seorang pun daripada mereka pernah ke luar negara baru-baru ini atau mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti.

Menjelang Olimpik musim panas dijadualkan Julai depan, Jepun kini berdepan gelombang jangkitan baharu.

Pakar kesihatan pula amat risau terhadap penyebaran strain mutasi, sedangkan vaksinasi rakyat berskala besar belum dimulakan.

Kelmarin, 466 jangkitan baharu dilaporkan di Tokyo, walaupun ia masih rendah berbanding 2,500 jangkitan pada tempoh kemuncak Januari lalu.

Di Osaka, 666 kes dilaporkan, dengan pakar kesihatan menyuarakan kebimbangan penularan strain yang sebelum ini ditemui di Britain di sekitar barat bandar raya itu.

NHK berkata, tiada pesakit di hospital di Tokyo dijangkiti strain dari Britain itu. - AFP

Berita Harian X