Isnin, 15 Februari 2021 | 8:16pm
Puak Druze mengibarkan bendera Syria ketika tunjuk perasaan membantah tindakan Israel menakluki Bukit Golan di perkampungan Majdal Shams. - Foto AFP
Puak Druze mengibarkan bendera Syria ketika tunjuk perasaan membantah tindakan Israel menakluki Bukit Golan di perkampungan Majdal Shams. - Foto AFP

9 pejuang militia terbunuh dalam serangan Israel ke atas Syria

BEIRUT: Sekurang-kurangnya sembilan pejuang militia prorejim terbunuh dalam serangan peluru berpandu Israel yang menyasarkan ibu negara Syria, Damascus, awal pagi ini.

Serangan itu disahkan oleh kawalan perang yang berpangkalan di Britain.

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi berkata, serangan itu menyasarkan depot senjata termasuk stor peluru berpandu di sekitar Damascus.

"Semua pejuang yang terbunuh adalah pasukan prokerajaan bukan Arab, namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka adalah dari Afghanistan, Pakistan atau Iran.

"Pertahanan udara Syria memintas sejumlah peluru berpandu tetapi banyak yang mengenai sasarannya dan menyebabkan kerosakan material," tambah pemerhati itu, yang bergantung pada rangkaian sumber di Syria untuk laporannya.

Menurutnya, serangan itu bermula selepas tengah malam dan berakhir kira-kira setengah jam kemudian.

Media tempatan Syria juga melaporkan mengenai serangan itu, namun mendakwa pasukan pertahanan udara berjaya memintas kebanyakan peluru berpandu.

Jurucakap tentera Israel ketika dihubungi AFP bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan itu.

Sejak tercetusnya perang saudara Syria pada 2011, Israel dengan kerapnya melancarkan serangan di negara itu dengan kebanyakan sasaran adalah terhadap pihak berkuasa Iran dan pejuang Lubnan, Hezbollah selain tentera kerajaan.

Iran dan Hezbollah menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad dalam perang yang sudah berlarutan hampir sedekad.

Israel bagaimanapun jarang mengesahkan serangan di Syria, namun tenteranya berkata, mereka sudah menyerang 50 sasaran pada tahun lalu tanpa memperincikannya. - AFP

Berita Harian X