Selasa, 9 Februari 2021 | 7:16am
Ben Embarek (tengah) bersama pasukan penyiasat WHO ketika mengunjungi pusat komuniti Jiangxinyuan di Wuhan. - Foto AFP
Ben Embarek (tengah) bersama pasukan penyiasat WHO ketika mengunjungi pusat komuniti Jiangxinyuan di Wuhan. - Foto AFP

Taklimat mengenai asal usul COVID-19 hari ini

GENEVA: Pasukan pakar antarabangsa yang menghabiskan sebulan di China untuk menyelidiki asal usul pandemik COVID-19 akan memberi taklimat kepada media di Wuhan hari ini, umum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

"Pasukan antarabangsa yang bekerja untuk memahami asal-usul virus COVID-19 sedang melengkapkan empat minggu tugasannya di Wuhan, China dan bersama-sama dengan rakan mereka dari China akan mengambil bahagian dalam sidang media," kata WHO semalam.

Taklimat, pada jam 4:00 petang waktu tempatan di sebuah hotel di bandar itu, akan disiarkan secara langsung dalam bahasa Inggeris di platform media digital dan sosial agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Kes COVID-19 pertama dikesan di Wuhan pada Disember 2019.

Saintis berpendapat bahawa penyakit itu - yang telah membunuh lebih 2.3 juta orang di seluruh dunia - berasal dari kelawar dan boleh menular ke manusia melalui mamalia lain.

Namun, belum ada jawapan pasti dan pegawai atasan WHO telah menafikan berjaya menemui jawapan dalam percubaan pertama pada misi penyiasatan sensitif itu.

Mereka menyatakan bahawa lawatan Wuhan kemungkinan akan menimbulkan banyak lagi pertanyaan yang perlu dijawab.

Sejak muncul dari kuarantin awal 14 hari yang mereka perlu lalui, pakar WHO telah mengunjungi sejumlah lokasi berprofil tinggi yang berkaitan dengan asal-usul pandemik, termasuk pasar makanan laut di mana orang pertama mendapat sakit berkenaan.

Kunjungan ke Institut Virologi Wuhan Rabu lalu adalah acara berprofil paling tinggi dalam agenda kerana teori kontroversial yang mungkin menjadi sumber pandemik terbabit.

Saintis di makmal itu melakukan penyelidikan mengenai beberapa penyakit paling berbahaya di dunia, termasuk jenis coronavirus kelawar yang serupa dengan COVID-19.

Spekulasi muncul pada awal pandemik bahawa virus itu mungkin secara tidak sengaja bocor dari makmal di Wuhan, walaupun tidak ada bukti yang diberikan untuk menyokong teori itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Donald Trump dan penyokongnya memanfaatkan khabar angin terbabit dan memperkuatkannya dengan teori konspirasi bahawa China sengaja membocorkan virus terbabit.

Ketua misi WHO, Peter Ben Embarek, menyatakan pemeriksa telah mengadakan perbincangan "sangat jujur" dengan saintis China mengenai sumber pandemik terbabit - termasuk teori bahawa ia bocor dari makmal, katanya kepada AFP Khamis lalu.

Walaupun dia tidak menyatakan teori tertentu, Ben Embarek menggambarkan beberapa teori terbabit sebagai tidak rasional dan menegaskan penyiasat tidak akan membuang masa untuk menyiasat dakwaan paling liar itu. - AFP

Berita Harian X