Jumaat, 5 Februari 2021 | 5:02pm
Beberapa anggota pasukan pakar WHO bagi menyiasat asal-usul COVID-19 melawat pusat komuniti di Wuhan. - Foto AFP
Beberapa anggota pasukan pakar WHO bagi menyiasat asal-usul COVID-19 melawat pusat komuniti di Wuhan. - Foto AFP

WHO: Tiada bukti virus COVID-19 berasal dari Wuhan

BEIJING: Pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sangsi terhadap khabar angin mengenai Institut Virologi Wuhan (WIV) dikatakan sebagai tempat asal usul virus COVID-19.

Sebaliknya, pasukan terbabit itu yakin dengan tahap keselamatan di kawasan itu dan memberikan penilaian yang positif terhadap cara pengurusan serta pengendalian makmal di institut berkenaan.

Pasukan pakar WHO berada di China bagi menyiasat asal-usul pandemik COVID-19 dan sudah melawat WIV serta makmal institut itu di Wuhan, wilayah Hubei kelmarin.

Pakar epidemiologi Institut Pasteur St Petersburg Russia, Dr. Vladmir Dedkov, mendapati makmal berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan berpiawai tinggi dan sangsi bagaimana virus boleh disebarkan dari kawasan terbabit.

Seorang lagi pakar, Peter Daszak, yang sudah mengumpul pelbagai maklumat mengenai makmal itu, mengesahkan banyak pencapaian sains dan penyelidikan berjaya dihasilkan di makmal terbabit.

Mengulas mengenai Pasar Basah Huanan pula, Dr Vladmir mengesahkan tiada bukti menunjukkan penularan wabak berpunca dari pasar itu.

Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, dalam sidang media pada hari yang sama, turut memaklumkan bahawa perbincangan antara pasukan pakar WHO dengan petugas China membuahkan hasil.

Tambah Wang, kerja-kerja menyiasat oleh pakar terbabit ke kawasan hospital, pasar, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Wuhan serta tempat lain berjalan lancar.

Tegasnya, China akan meneruskan kerjasama dengan WHO secara terbuka, telus dan bertanggungjawab. - BERNAMA

Berita Harian X