Jumaat, 5 Februari 2021 | 4:16pm
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

Ekspatriat berang keputusan India eksport vaksin COVID-19 ke Arab Saudi

RIYADH: Keputusan India untuk mengeksport jutaan dos vaksin COVID-19 ke Arab Saudi, menimbulkan kemarahan komuniti ekspatriatnya yang terjejas dengan tindakan negara ini menguatkuatkan larangan penerbangan selama berbulan-bulan sehingga mencetuskan ketegangan diplomatik.

Pekerja India yang membentuk komuniti ekspatriat terbesar di Arab Saudi, begitu terkesan apabila tidak dapat memasuki negara ini berikutan langkah sekatan untuk mengekang peningkatan jangkitan wabak itu.

Minggu ini, Arab Saudi menggantung kemasukan dari 20 negara - dari negara jiran Emiriah Arab Bersatu hinggalah Amerika Syarikat dan Britain - serta menghentikan acara hiburan sebagai usaha menyekat perebakan COVID-19.

Namun, pekerja India ialah antara paling terkesan dengan larangan penerbangan selama hampir lima bulan yang dikatakan telah menjejaskan kehidupan mereka, pekerjaan dan kontrak perniagaan, selain memecahbelahkan keluarga.

Akhir September lalu, Arab Saudi melarang penerbangan dari India, Brazil serta Argentina, menyebabkan ratusan ribu pekerja India tidak dapat memasuki negara ini.

Akaun media sosial misi diplomatik India ke Arab Saudi, dihujani mesej pekerja yang terdesak dan berang, dengan ramai mempersoalkan keputusan New Delhi untuk mengeksport vaksin terbabit sebelum krisis itu diselesaikan.

"India tidak harus menawarkan vaksin kepada Arab Saudi kerana (negara itu) telah melarang penerbangan dari India sehingga menggugat kehidupan ratusan ribu pekerja," tulis seorang individu dalam Twitter kepada Kedutaan India di Riyadh.

Sentimen itu turut dikongsi seorang jurutera muda India yang gagal memasuki semula Arab Saudi selepas meninggalkan negara ini pada musim panas lalu untuk melawat keluarganya di Uttar Pradesh.

"Siang dan malam kami menciap (kepada pihak berkuasa) untuk merayu pertolongan, namun yang India peduli ialah menjual vaksin," katanya yang enggan dikenali kepada AFP. - AFP

Berita Harian X