X
Rabu, 3 Februari 2021 | 11:29am
Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia tiba di makmal dekat Wuhan, pagi tadi. - Foto AFP
Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia tiba di makmal dekat Wuhan, pagi tadi. - Foto AFP

Penyiasat WHO lawat makmal virus di Wuhan

WUHAN: Pasukan penyiasat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melawat makmal di bandar Wuhan, China hari ini, yang menurut pegawai Amerika Syarikat (AS) mungkin sumber pertama COVID-19.

Bahagian yang akan menjadi tumpuan pasukan penyiasat ketika berkunjung ke Institut Virologi Wuhan ialah seksyen yang melakukan penyelidikan berhubung penyakit paling berbahaya di dunia, untuk menyiasat asal usul wabak itu.

Misi sensitif itu yang ditangguhkan oleh China sepanjang tahun pertama wabak berkenaan, ditugaskan untuk menyelidik bagaimana virus itu boleh berpindah, daripada haiwan kepada manusia.

Selepas sekian lama, persoalan itu yang diharapkan dapat dirungkai oleh pakar, masih belum terjawab.

Saintis berpendapat COVID-19 yang pertama kali muncul di Wuhan dan membunuh lebih daripada dua juta orang di seluruh dunia, berasal daripada kelawar dan mungkin dipindahkan kepada manusia melalui mamalia lain.

Tetapi, setakat ini masih belum ada jawapan yang kukuh.

Terdapat spekulasi pada awal pandemik bahawa virus itu mungkin secara tidak sengaja bocor daripada Makmal Bio-Keselamatan di Wuhan, walaupun tidak ada bukti untuk menyokong teori itu.

Presiden AS ketika itu, Donald Trump dan penyokongnya memainkan khabar angin itu dan memperkukuh lagi dengan teori konspirasi bahawa China sengaja membocorkan virus berkenaan.

Saluran televisyen China CGTN berkata, pasukan WHO akan mengunjungi makmal bio-keselamatan kebangsaan dan bertukar-tukar idea dengan pakar institut mengenai tugasan harian mereka, kerjasama ilmiah antarabangsa dan usaha serta sumbangan antiwabak.

China menghadapi kritikan di dalam dan di luar negara kerana tidak menyebarkan dengan tepat pada peringkat kemunculan awal wabak dan menyembunyikan maklumat ketika ia pertama kali muncul di Wuhan, pada bulan Disember 2019.

Tetapi anggota pasukan WHO, Peter Daszak memberitahu wartawan semalam, misi itu berjalan dengan sangat baik, ketika kumpulan itu dibawa ke pusat kawalan penyakit haiwan.

China juga bertekad untuk memfokuskan perhatian kepada pemulihannya daripada wabak itu, dan pasukan WHO mengadakan lawatan ke pameran propaganda yang meraikan pemulihan China daripada wabak di Wuhan, Sabtu lalu.

Pada Ahad lalu, pasukan itu melawat ke pasar di Wuhan, satu kluster jangkitan pertama yang dilaporkan muncul lebih daripada setahun lalu, yang Daszak melalui ciapan dalam akaun Twitter beliau berkata, 'ia lawatan yang penting'. - AFP

Berita Harian X