Jumaat, 29 Januari 2021 | 8:02pm
Anggota pasukan pakar penyiasat WHO, Peter Ben Embarek (tengah) bersama dua lagi pakar dilihat meninggalkan Hospital Integrasi Perubatan China dan Barat Hubei. - Foto EPA
Anggota pasukan pakar penyiasat WHO, Peter Ben Embarek (tengah) bersama dua lagi pakar dilihat meninggalkan Hospital Integrasi Perubatan China dan Barat Hubei. - Foto EPA

Pasukan pakar WHO temui saintis China di Wuhan

BEIJING: Pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menyiasat asal usul pandemik COVID-19 menemui saintis China hari ini dan bercadang mengunjungi makmal, pasar dan hospital di Wuhan.

Semalam, pasukan itu selesai menjalani tempoh kuarantin dua minggu selepas tiba di China dan berpindah ke sebuah hotel di tepi tasik di tengah bandar Wuhan, di mana virus pembunuh itu muncul pada akhir 2019.

Ahli virologi di Pusat Perubatan Universiti Erasmus di Belanda, Marion Koopmans, menerusi ciapan Twitter hari ini, berkata pertemuan bersemuka diadakan dengan rakan saintis di China bagi membincangkan program lawatan.

"Ketua pasukan China, Prof Wannian, 'bergurau' mengenai masalah teknikal. Pertemuan berlangsung baik selepas sekian lama kami berbincang panjang secara maya," katanya.

Seorang lagi anggota pasukan dari Denmark, Thea Fischer, berkata adalah penting untuk berpegang kepada matlamat misi iaitu penjejakan asal usul virus, yang 100 peratus bergantung pada akses kepada sumber berkaitan.

"Tidak kira berapa cekap, usaha keras dan sejauh mana kepakaran kita, ia hanya dapat dilakukan dengan sokongan daripada China," katanya.

Kumpulan terbabit dijangka menghabiskan dua minggu lagi di China dan akan mengunjungi pasar makanan laut di pusat wabak mula merebak.

Mereka akan mengunjungi Institut Virologi Wuhan, yang menjadi sasaran kontroversi berikutan hipotesis bahawa wabak itu berpunca akibat 'kebocoran' di makmal milik kerajaan itu, yang dinafikan China.

Misi PBB itu tergendala berikutan kelewatan, kebimbangan terhadap akses dan pertelingkahan antara China dan Amerika Syarikat (AS), yang mendakwa China menyembunyikan maklumat awal wabak.

AS juga lantang mengkritik syarat lawatan, yang mana hanya kalangan pakar China melakukan fasa pertama penyelidikan.

China pula mendakwa virus itu berpunca dari luar negara sebelum ia ditemui di Wuhan, dengan media tempatan melaporkan virus dikesan pada bungkusan makanan sejuk beku.

Sementara itu, penyelidikan saintifik pakar tempatan mendakwa coronavirus itu dikesan sudah menular di Eropah pada 2019.

Kementerian Luar China juga membuat spekulsai bahawa penutupan secara tiba-tiba makmal tentera milik AS di Fort Detrick di Maryland pada Julai 2019 ada kaitan dengan wabak berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X