Khamis, 28 Januari 2021 | 8:31pm
Anggota pasukan pakar WHO dilihat berada dalam bas meninggalkan Hotel Jade Boutique selepas tempoh kuarantin wajib 14 hari di Wuhan, China, bagi memulakan siasatan berhubung asal-usul COVID-19. - Foto EPA
Anggota pasukan pakar WHO dilihat berada dalam bas meninggalkan Hotel Jade Boutique selepas tempoh kuarantin wajib 14 hari di Wuhan, China, bagi memulakan siasatan berhubung asal-usul COVID-19. - Foto EPA

Pasukan pakar WHO mula siasatan COVID-19 di Wuhan

WUHAN: Pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini memulakan penyiasatan berhubung asal-usul pandemik COVID-19 di Wuhan, China selepas menamatkan tempoh kuarantin 14 hari.

Mata dunia kini tertumpu kepada China mengharapkan jawapan, dengan shington menggesa siasatan yang menyeluruh, terperinci dan jelas.

Pasukan itu mula menjalani kuarantin selama dua minggu bermula 14 Januari lalu sebaik tiba di bandar yang mula mengesan kluster pertama wabak itu pada hujung 2019.

Ketika ini, masih tidak jelas bila dan di mana siasatan pasukan penyelidikan itu akan bermula.

Virus itu dipercayai berasal daripada kelawar dan mula merebak kepada manusia dari sebuah pasar basah di Wuhan, yang menjual haiwan liar hidup sebagai makanan.

WHO menegaskan penyiasatan akan berteraskan sains mengenai bagaimana virus itu, yang sudah menjangkiti lebih 10 juta orang dan meragut lebih dua juta nyawa selain meruntuhkan ekonomi global, berjangkit daripada haiwan kepada manusia.

Dalam misi yang ditangguhkan beberapa kali berikutan 'gangguan' China, masih tidak jelas apa aspek siasatan atau sama ada masih terdapat bukti yang boleh digunakan selepas setahun pandemik itu menular.

Ini diburukkan lagi dfengan dakwaan China cuba menentukan naratif bagaimana ia bermula, dengan matlamat mengelakkan sebarang tuduhan atau dakwaan terhadapnya.

Tempoh awal penularan wabak itu kekal sebagai topik yang sensitif di China ketika ini dan pemimpin Komunis dilihat menghalang mana-mana perbincangan yang cuba meremehkan pentadbirannya.

Beijing juga cuba menimbulkan keraguan berhubung asal-usul virus itu, dengan menguar-uarkan teori kononnya ia muncul di negara lain.

Teori lain mengenai asal-usul virus itu yang dibangkitkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ialah bahawa ia berasal dari sebuah makmal di Institut Virologi Wuhan, yang menjalankan penyelidikan mengenai coronavirus.

Ahli keluarga pesakit COVID-19 yang meninggal dunia mahu bertemu pasukan itu dan mendakwa berdepan pelbagai halangan baharu sejak pasukan WHO itu tiba di Wuhan.

Mereka mendakwa kerajaan tempatan Wuhan dan Hubei cuba menyembunyikan wabak itu ketika ia mula dikesan, tidak memberi amaran pada orang ramai serta gagal dalam tindak balas awal, menyebabkan ia merebak di luar kawalan.

Menurut data rasmi China, virus itu membunuh hampir 3,900 individu di Wuhan, yang mewakili hampir keseluruhan 4,636 pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di China.

Sebelum ini, sebuah panel pakar bebas menyimpulkan bahawa China dan WHO boleh bertindak dengan lebih pantas untuk mengelakkan penularan luar kawalan pada peringkat awal jangkitan coronavirus. - AFP

Berita Harian X