Rabu, 13 Januari 2021 | 1:29pm
Jepun akan meluaskan perintah darurat kepada tujuh wilayah lain hari ini dalam usaha menghentikan penyebaran COVID-19. - Foto Google
Jepun akan meluaskan perintah darurat kepada tujuh wilayah lain hari ini dalam usaha menghentikan penyebaran COVID-19. - Foto Google

Jepun perluas perintah darurat COVID-19

TOKYO: Jepun akan meluaskan perintah darurat yang diisytiharkan di Tokyo minggu lalu, kepada tujuh wilayah lain hari ini dalam usaha menghentikan penularan COVID-19, lapor stesen penyiar awam, NHK.

Langkah terbabit dilakukan selepas gabenor Osaka, Hyogo, Aichi serta wilayah lain yang teruk dilanda COVID-19 meminta kerajaan mengeluarkan perintah darurat negeri, yang memberikan pihak berkuasa tempatan mengenakan larangan kawalan pergerakan terhadap pergerakan penduduk dan perniagaan.

Perdana Menteri, Yoshihide Suga dilihat mengambil tindakan lebih berhati-hati berhubung kegiatan ekonomi walaupun pada masa sama berani berdepan cabaran sebagai tuan rumah Olimpik yang ditangguhkan tahun ini.

Ini berikutan jangkitan COVID-19 berada pada tahap tertinggi dalam gelombang ketiga di negara itu dan kaji selidik pendapat menyaksikan orang ramai semakin menentang kerajaan daripada meneruskan temasya sukan musim panas itu.

Dalam tinjauan kaji selidik NHK yang diterbitkan pada hari ini, hanya 16 peratus responden mengatakan bahawa sukan olimpik itu wajar diteruskan iaitu turun 11 mata daripada tinjauan sebelumnya pada bulan lalu, sementara 77 peratus lagi berpendapat penganjurannya perlu dibatal atau ditunda lagi.

Selai itu, kerajaan negara itu akan mengadakan pertemuan dengan panel penasihat hari ini bagi memutuskan perluasan perintah darurat.

Wilayah Osaka, Kyoto, Hyogo, Fukuoka, Aichi, Gifu dan Tochigi dijangka diletakkan juga dalam perintah darurat yang merangkumi kira-kira 55 peratus penduduk Jepun.

Bagaimanapun pengisytiharan darurat terkini itu adalah lebih kecil berbanding dilakukan kali pertama diadakan tahun lalu, dengan memberi penumpuan terhadap bar dan restoran selain menggesa orang ramai terus berada di rumah.

Perintah darurat itu berkuat kuasa hingga 7 Februari ini.

Jepun merekodkan 298,000 kes jangkitan COVID-19 dan 4,192 kematian setakat ini, menurut NHK. - AGENSI

Berita Harian X