Ahad, 10 Januari 2021 | 3:34pm

Teka-teki sumber pandemik COVID-19 masih belum terungkai

WUHAN: Pakar memberikan amaran bahawa mungkin tiada jawapan konklusif akan ditemui berhubung sumber pandemik COVID-19 yang kini menjadi teka-teki saintifik paling mendesak di dunia.

Ia susulan usaha penyiasatan yang bermula secara kucar-kacir, sikap berahsia oleh China dan luapan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Tarikh 11 Januari, esok, menandakan genap setahun sejak China mengesahkan kematian pertama akibat COVID-19 membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun yang sering mengunjungi sebuah pasar basah di Wuhan ketika itu.

Kini selepas hampir dua juta nyawa terkorban, penularan wabak itu tidak lagi terkawal di kebanyakan negara serata dunia yang menyebabkan puluhan juta orang jatuh sakit, ekonomi global meleset dan tuduh-menuduh antara negara.

Namun hingga kini, usaha untuk mengesan asal usul virus terbabit dan merungkai persoalan bagaimana ia berpindah daripada binatang kepada manusia, masih belum berhasil.

Wujud pertikaian mengenai wabak itu yang dilaporkan tercetus dari sebuah pasar basah menjual haiwan liar sebagai makanan di Wuhan, dan patogen berkenaan dipercayai berasal daripada sejenis spesies kelawar tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, jejak berkenaan hanya berakhir di situ, malah dicelarukan dengan pelbagai petunjuk seterusnya.

Ia termasuklah kemungkinan virus itu wujud sebelum insiden di Wuhan, serta teori konspirasi mendakwa ia tersebar akibat kebocoran sebuah makmal di Wuhan.

Pakar virologi menegaskan, usaha mengenal pasti sumber adalah sangat penting bagi menghapuskan wabak pada masa depan dengan lebih awal.

Ia dapat memberi petunjuk sebagai garis panduan untuk membuat keputusan dasar sama ada menangani populasi binatang, kuarantin individu dijangkiti atau mengehadkan pemburuan hidupan liar dan interaksi manusia-haiwan yang lain.

"Jika kita dapat mengenal pasti kenapa ia (virus) terus muncul, kita boleh mengurangkan penyebab berkenaan," kata Peter Daszak yang juga Presiden EcoHealth Alliance, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global memfokus kepada pencegahan penyakit berjangkit. - AFP

Berita Harian X