Sabtu, 9 Januari 2021 | 4:17pm

Persiapan berterusan untuk terima lawatan pakar WHO - China

BEIJING: China hari ini mengesahkan persiapan masih dilakukan secara berterusan untuk menerima ketibaan pasukan pakar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Wuhan bagi menyiasat asal usul COVID-19.

Kenyataan China itu menyusul selepas agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan menyuarakan teguran yang jarang kali dibuat, terhadap penangguhan perjalanan yang sudah lama dirancang itu.

Selalu lalu, WHO dilapor menzahirkan perasaan 'sangat kecewa' kerana Beijing masih belum memuktamadkan kebenaran walaupun pasukan pakar terbabit sudah memulakan perjalanan ke China.

"Waktu khusus terbabit sudah ditetapkan, dan kami bersedia di sini.

"Selagi pasukan pakar terbabit memenuhi prosedur dan mengesahkan jadual mereka, kita akan pergi ke Wuhan bersama-sama untuk menjalankan siasatan," kata Naib Menteri Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Zeng Yixin, kepada pemberita.

Pada awal minggu ini, pihak berkuasa China enggan mengesahkan perincian lawatan itu - menandakan sensitiviti misi berkenaan - yang ditimpa masalah penangguhan dan isu politik.

Sebelum ini, WHO dilaporkan sebagai berkata, China telah memberi kebenaran lawatan oleh pasukan terdiri daripada 10 pakar itu.

"Kami sedang menunggu ketibaan pakar daripada WHO, dan telah mengatur kumpulan pakar berkaitan untuk menyambut mereka," kata Zeng.

Beliau sekali gus berharap siasatan WHO akan membantu memberi kefahaman lebih mendalam mengenai asal usul COVID-19. - AFP

Berita Harian X