Rabu, 21 Oktober 2020 | 9:49pm
Sanak saudara berdiri di sisi keranda seorang anggota tentera Afghanistan yang terbunuh dalam serangan terbaru. - Foto AFP
Sanak saudara berdiri di sisi keranda seorang anggota tentera Afghanistan yang terbunuh dalam serangan terbaru. - Foto AFP

25 anggota keselamatan maut dalam serang hendap Taliban

KUNDUZ: Sekurang-kurangnya 25 anggota pasukan keselamatan Afghanistan terbunuh dalam serang hendap yang dipercayai dilakukan Taliban, kata sumber rasmi.

Serangan hendap itu dilakukan walaupun Taliban memberi jaminan kepada Washington untuk mengurangkan keganasan minggu lalu.

Pasukan keselamatan itu diserang semalam di wilayah Takhar dan pertempuran masih berlarutan, kata jurucakap Gabenor wilayah, Jawad Hejri, yang mengesahkan 25 orang maut dalam serangan itu.

"Pasukan Taliban mengambil kedudukan di dalam rumah sekitar kawasan berkenaan dan menyerang pasukan kami yang sedang melakukan operasi memerangi musuh," katanya.

Pengarah kesihatan wilayah Takhar, Abdul Qayoum, berkata secara keseluruhan 34 pegawai keselamatan terbunuh, termasuk timbalan ketua polis wilayah.

Puak Taliban setakat ini tidak mengulas mengenai serangan berkenaan.

Walaupun rundingan damai sudah bermula di Qatar, kumpulan pelampau itu masih meningkatkan tahap keganasan di Afghanistan.

Satu serangan besar oleh Taliban di wilayah Helmand minggu lalu memaksa orang ramai meninggalkan kediaman masing-masing, manakala letupan bom kereta di ibu pejabat polis di Ghor meragut 16 nyawa dan mencederakan 154 yang lain. - AFP

Sementara itu, di Jalalabad, sekurang-kurangnya 11 wanita Afghanistan dilaporkan maut selepas diasak ribuan orang berkumpul di sebuah stadium bola sepak bagi memohon visa Pakistan.

Tragedi itu berlaku di wilayah Nangarhar di mana ribuan orang berkumpul bagi memohon visa selepas Konsulat pakistan dibuka semula selepas tujuh bulan ditutup akibat pandemik COVID-19.

Antara yang maut termasuk warga tua dan wanita mengandung termasuk seorang yang melahirkan bayi dalam kekalutan yang berlaku, mengakibatkan kecederaan parah tetapi bayinya tidak dapat diselamatkan. - AFP

Berita Harian X