Selasa, 13 Oktober 2020 | 1:20pm

India, China adakan rundingan baharu akhiri konflik tentera

SRINAGAR: Komander tentera kanan India dan China mengadakan rundingan baharu semalam bertujuan mengakhiri kebuntuan berbulan-bulan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan di wilayah Ladakh yang terpencil.

Rundingan itu diadakan di bahagian perbatasan India di kawasan Chushul tetapi tiada maklumat lanjut diberikan mengenainya.

Rundingan diadakan selepas puluhan ribu tentera dua belah pihak, yang dilengkapi artileri, kereta kebal dan jet pejuang, bersiap sedia untuk musim sejuk melampau di wilayah itu, di mana suhu boleh turun sehingga negatif 50 darjah selsius.

India dan China sudah beberapa kali mengadakan perbincangan ketenteraan, diplomatik dan pegawai politik, termasuk rundingan antara menteri luar dan menteri pertahanan di Moscow bulan lalu.

Walaupun kebuntuan itu berlanjutan, rundingan berkenaan kelihatan meredakan ketegangan di sepanjang sempadan berikutan tiada pencerobohan ketenteraan baharu dilaporkan selama sebulan.

Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, semalam berkata China dan Pakistan mewujudkan suasana seolah-olah 'ada misi bersama untuk mencipta pertikaian sempadan'.

Singh membuat kenyataan itu ketika merasmikan secara maya 44 jambatan di kawasan bersempadan dengan China dan Pakistan, yang dikatakan pegawai akan lebih memudahkan pergerakan tentera India.

"Anda mengetahui keadaan di sepanjang sempadan utara dan timur kita di mana provokasi dilakukan, pertama oleh dan kini oleh China, seolah-olah ada misi untuk mencetuskan pertikaian sempadan di perbatasan," katanya.

Berita Harian X