Isnin, 14 September 2020 | 8:14pm
Petugas kesihatan melakukan ujian COVID-19 di satu kawasan penempatan di Mumbai. - Foto AFP
Petugas kesihatan melakukan ujian COVID-19 di satu kawasan penempatan di Mumbai. - Foto AFP

Kekurangan bekalan oksigen perubatan India semakin parah

NEW DELHI: Beberapa negeri di India melaporkan kekurangan bekalan oksigen perubatan yang diperlukan untuk merawat pesakit COVID-19, berikutan permintaan mendadak ke atasnya.

Ia susulan peningkatan kes COVID-19 yang belum pernah terjadi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Keadaan paling teruk berlaku di Maharashtra, negeri paling teruk dilanda COVID-19 di India dengan lebih sejuta kes.

Sehingga pagi semalam, kira-kira 280,138 kes aktif yang meningkat daripada 150,966 pada 1 Ogos lalu, mengakibatkan peningkatan permintaan oksigen yang besar dan di luar jangkaan.

Menurut laporan media tempatan, ada sesetengah hospital di bandar kecil di negeri itu tidak menerima pesakit kritikal, malah turut memindahkan pesakitnya ke hospital yang lebih besar di ibu negeri, Mumbai.

Memetik laporan The Straits Times, Pengarah Hospital Niramaya di Navi, Mumbai, Dr Amit Thadhani, berkata banyak hospital semakin terdesak untuk mendapatkan bekalan oksigen yang mencukupi susulan peningkatan angka kes COVID-19.

Di Hospital Niramaya, kira-kira 40 daripada 55 katil menempatkan pesakit COVID-19 yang mana memerlukan bekalan kira-kira 90 silinder jumbo setiap hari dengan kapasiti kira-kira 7,000 liter oksigen setiap satu, bagaimanapun hospitalnya hanya memperoleh kira-kira 20 silinder sehari.

Susulan itu, Kerajaan Maharashtra pada 7 September lalu menetapkan 80 peratus pengeluaran oksigen adalah untuk kegunaan hospitalnya dan bukan untuk dibekalkan ke negeri lain.

Walaupun membenarkan baki 20 peratus untuk kegunaan industri, ia menegaskan keutamaan adalah untuk keperluan di hospital dan bukannya untuk kegunaan industri.

Langkah itu sekali gus memberi kesan terhadap beberapa hospital di Madhya Pradesh yang bergantung kepada bekalan oksigen dari Maharashtra.

Sementara itu, kerajaan persekutuan pada 11 September lalu mengeluarkan arahan kepada semua negeri supaya memastikan tiada sekatan terhadap pergerakan oksigen perubatan.

Dengan lebih daripada 94,000 kes dilaporkan semalam, jumlah keseluruhan kes di India sudah melepasi 4.75 juta dan 78,586 kematian dengan jumlah kes aktifnya meningkat daripada 565,103 kes pada 1 Ogos kepada 973,175 kes.

Kekurangan bekalan itu dilaporkan di Gujarat, Karnataka, Punjab, Jammu dan Kashmir. Pada April, hospital di Punjab memerlukan kira-kira 1,000 silinder jumbo setiap hari, namun permintaannya kini meningkat kepada hampir 10,000 setiap hari, mendorong negeri itu untuk mengalihkan bekalan dari tujuan industri. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X