Selasa, 18 Ogos 2020 | 6:58am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19: China paten vaksin pertama

BEIJING: China mendaftarkan paten bagi vaksin COVID-19 pertamanya dengan ia diperakui Pentadbiran Harta Intelek Nasional China.

People's Daily melaporkan, permohonan paten bagi vaksin juga dilakukan bersama pasukan penyelidik Akademi Sains Perubatan Tentera dan syarikat bioteknologi China Cansino Biologi.

Kumpulan saintis yang diketuai, Chen Wei, selaku penyelidik di Institut Perubatan Ketenteraan di bawah akademi itu, membangunkan vaksin COVID-19 yang sudah disesuaikan dengan vaksin vektor adenovirus.

Pada Mac lalu, vaksin terbabit menjadi yang pertama di China diluluskan untuk menjalani ujian klinikal peringkat seterusnya.

Menurut paten abstrak, vaksin itu menunjukkan tahap imunogenik yang baik terhadap tikus dan monyet serta mengakibatkan tindak balas imun selular dalam jangka masa yang singkat.

Ia sekali gus dapat dihasilkan dengan cepat dalam skala besar bagi mengatasi wabak COVID-19.

Menurut laporan berkenaan, vaksin itu kini selesai ujian klinikal fasa-1 dan fasa-2, yang telah mengesahkan keselamatan dan imunogeniknya.

Ketika ini, Britain dan Russia juga sedang berusaha untuk membangunkan vaksin tersebut menggunakan teknologi sama. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X