Khamis, 18 Jun 2020 | 6:25pm

Letupan mortar di sekolah agama, 9 pelajar terbunuh

KUNDUZ: Letupan bom mortar di dalam sebuah sekolah agama di utara Afghanistan hari ini mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan pelajar.

Jurucakap polis, Khalil Asir, berkata bom mortar itu dipercayai dibawa masuk ke dalam madrasah berkenaan dan kebanyakan mangsa yang maut berusia bawah 18 tahun.

"Selain itu, enam pelajar turut cedera dalam letupan di daerah Ishkamish dalam wilayah Takhar itu," katanya.

Jurucakap Gabenor Wilayah, Jawad Hejri, mengesahkan kejadian itu termasuk jumlah kematian yang dilaporkan.

Tragedi terbabit menyusuli dua siri letupan bulan ini menyasarkan dua masjid di Kabul.

Jumaat lalu, empat orang terbunuh apabila bom diletupkan dalam sebuah masjid di Kabul ketika solat Jumaat.

Seminggu sebelum itu, letupan di sebuah lagi masjid di Zon Hijau yang dikawal ketat mengakibatkan dua orang terbunuh termasuk seorang imam popular.

Keganasan terus berlaku walaupun puak Taliban dan kerajaan sedang bersiap mengadakan rundingan damai yang sudah lama tertangguh bagi menamatkan konfil lebih dua dekad yang memusnahkan negara itu. - AFP

Berita Harian X