Ahad, 24 Mei 2020 | 1:11pm

COVID-19: Makmal Wuhan miliki tiga jenis coronavirus hidup kelawar

BEIJING: Institut virologi China di bandar yang mana COVID-19 tercetus, mempunyai tiga jenis coronavirus hidup kelawar di lokasi tetapi tiada yang sepadan dengan virus sedang melanda seluruh dunia, kata pengarahnya.

Saintis berpendapat bahawa COVID-19 yang tercetus di Wuhan dan telah meragut kira-kira 340,000 nyawa, setakat ini, berasal daripada kelawar serta berkemungkinan menjangkiti manusia menerusi mamalia lain.

Namun Pengarah Institut Virologi Wuhan, Wang Yanyi, menegaskan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serta sebilangan pihak lain bahawa virus itu berkemungkinan bocor daripada fasiliti itu adalah 'rekaan semata-mata'.

Dalam wawancara dirakamkan pada 13 Mei lalu dan disiarkan CGTN, malam tadi, Wang berkata, pusat itu telah 'mengasingkan serta mengambil beberapa coronavirus daripada kelawar'.

"Ketika ini, kami ada tiga jenis virus hidup. Namun, kadar tertinggi persamaannya dengan SARS-CoV-2 hanya mencecah 79.8 peratus," katanya merujuk kepada jenis coronavirus yang mengakibatkan wabak COVID-19.

Salah sebuah pasukan penyelidikan mereka yang diketuai oleh Prof Shi Zhengli, melakukan kajian terhadap virus kelawar sejak 2004 dan memfokus kepada 'pengesanan sumber SARS', iaitu jenis virus yang menyebabkan penularan wabak lain hampir dua dekad lalu.

"Kita tahu bahawa seluruh genom SARS-CoV-2 hanya 80 peratus sama dengan SARS. Ia adalah perbezaan yang ketara.

"Sehubungan itu dalam penyelidikan Prof Shi yang lalu, mereka tidak memberi perhatian kepada virus yang kurang serupa dengan virus SARS," katanya.

Khabar angin menuduh makmal itu terbabit krisis COVID-19, bertiup kencang dalam talian selama berbulan-bulan sebelum Trump serta Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, mengetengahkan teori itu ke dalam arus perdana dengan mendakwa ada bukti bahawa patogen terbabit adalah daripada institut berkenaan.

Menurut makmal terbabit, pada 30 Disember lalu, ia menerima sampel virus berkenaan yang tidak dikenali ketika itu sebelum menentukan urutan genom pada 2 Januari dan memberikan maklumat berhubung patogen terbabit kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Januari.

Dalam wawancara itu, Wang mendakwa bahawa sebelum menerima sampel pada Disember lalu, pasukan mereka tidak pernah 'menemui, menyelidik atau menyimpan virus berkenaan'.

"Malah, seperti semua orang lain, kami langsung tidak tahu virus itu wujud. Bagaimana ia boleh bocor daripada makmal kami jika kami tidak pernah mempunyai virus itu?" katanya.

Dalam pada itu, WHO memaklumkan, Washington tiada menawarkan bukti untuk menyokong dakwaan 'spekulatif' yang dibuat.

Sementara itu dalam satu wawancara dengan Scientific American, Shi pula berkata, urutan genome SARS-CoV-2 tidak berpadanan dengan mana-mana coronavirus kelawar yang dikumpulkan dan dikaji sebelum ini oleh makmalnya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X