Rabu, 6 Mei 2020 | 4:34pm
Institut Virologi Wuhan. - Foto AFP
Institut Virologi Wuhan. - Foto AFP

COVID-19: Makmal Wuhan jadi isu perbalahan AS-China

BEIJING: Makmal di China yang didakwa pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS) sebagai sumber wabak COVID-19, berfungsi menjalankan penyelidikan mengenai penyakit paling berbahaya di dunia.

Dakwaan bahawa terdapat bukti patogen itu berasal daripada makmal di Wuhan dibuat oleh Presiden AS, Donald Trump dan Setiausaha Negara, Mike Pompeo.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). berkata Washington tidak mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan itu, sebaliknya saintis percaya wabak berkenaan dipindahkan daripada haiwan kepada manusia yang berkemungkinan berlaku di pasar Wuhan yang menjual haiwan liar.

Ahli epidemiologi AS, Anthony Fauci mengulangi kenyataan WHO, dengan memberitahu National Geographic bahawa semua bukti setakat ini "menunjukkan" asal semula jadi.

China dengan tegas menolak tuduhan itu, tetapi spekulasi dan teori konspirasi masih berlanjutan.

Berikut adalah beberapa persoalan utama mengenai Institut Virologi Wuhan:

Kerja yang dilakukan saintis makmal membantu menjelaskan mengenai patogen COVID-19 ketika ia pertama kali muncul di Wuhan.

Pada bulan Februari, mereka menerbitkan kajian yang merumuskan virus baharu itu berkongsi identiti urutan 79.6 peratus dengan coronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan bahawa ia 96 peratus sama pada peringkat seluruh genom dengan coronavirus yang terdapat pada kelawar.

Penyelidik di makmal sudah melakukan penyelidikan secara meluas mengenai hubungan antara kelelawar dan wabak penyakit di China, dan menekankan perlunya bersedia terhadap virus yang berpotensi menular ke dalam komuniti manusia.

Saintis berpendapat, COVID-19 berasal daripada kelawar dan mungkin disebarkan kepada manusia melalui mamalia lain seperti tenggiling, tetapi setakat ini masih belum dibuktikan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X