Selasa, 21 April 2020 | 6:12pm
Media Syria melaporkan bahawa pasukan pertahanan udaranya berjaya memintas peluru berpandu Israel di ruang udara. - Foto hiasan
Media Syria melaporkan bahawa pasukan pertahanan udaranya berjaya memintas peluru berpandu Israel di ruang udara. - Foto hiasan

Syria pintas peluru berpandu Israel

DAMASCUS: Media Syria melaporkan bahawa pasukan pertahanan udaranya berjaya memintas peluru berpandu Israel di ruang udara kota kuno Palmyra di wilayah Homs, semalam.

Sejak konflik Syria pada tahun 2011, Israel melakukan ratusan serangan ke atas negara itu yang menyasarkan pasukan tentera kerajaan dan pasukan tentera sekutu, Iran serta pejuang kumpulan militan Lubnan, Hizbullah.

"Pertahanan udara menghadapi serangan Israel ke atas Palmyra dan memintas beberapa peluru berpandu musuh.

“Peluru berpandu itu dijatuhkan sebelum mereka dapat mencapai sasaran," kata media Sana.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, iaitu pemantau perang yang berpusat di Britain, berkata sasarannya peluru berpandu itu adalah ‘pos tentera untuk militia Iran di padang pasir Palmyra.’

Ia bagaimanapun tidak melaporkan sebarang kemalangan jiwa.

Jurucakap tentera Israel ketika dihubungi enggan mengulas. 

Akhir bulan lalu, pertahanan udara Syria memintas serangan peluru berpandu Israel yang juga mensasarkan wilayah Homs di tengah negara yang dilanda perang itu.

Pemantau menyatakan bahawa sasarannya adalah lapangan terbang tentera yang terdapat kehadiran pasukan tentera Iran.

Jarang sekali Israel mengaku bertanggungjawab ke atas serangan seumpama itu secara langsung.

Negara Israel menyatakan bahawa kehadiran Iran di Syria untuk menyokong Presiden Bashar al-Assad adalah ancaman dan ia akan meneruskan serangannya.

Serangan terbaru berlaku hanya beberapa jam selepas Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, bertemu dengan Assad di Damsyik untuk membincangkan perkembangan serantau penularan wabak COVID-19. - AFP

Berita Harian X