Khamis, 5 March 2020 | 8:52am
Gambar fail diambil pada 25 Julai 2018 dari bukit Tal Saki, wilayah diceroboh Israel di Golan Heights, menunjukkan pesawat perang Syria, Aero L-39 Albatros, melancarkan serangan. - Foto AFP
Gambar fail diambil pada 25 Julai 2018 dari bukit Tal Saki, wilayah diceroboh Israel di Golan Heights, menunjukkan pesawat perang Syria, Aero L-39 Albatros, melancarkan serangan. - Foto AFP

Pertahanan Udara Syria tangkis peluru berpandu Israel

DAMSYIK: Pasukan pertahanan udara Syria menangkis serangan peluru berpandu Israel, lapor media rasmi negara.

“Pasukan pertahanan udara kami berdepan serangan peluru berpandu Israel di barat daya wilayah Quneitra termasuk di selatan dan tengah,” lapor agensi berita SANA.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi, tiada butiran mengenai sasaran diberikan. Wilayah Quneitra terletak berhampiran kawasan Golan Heights yang diceroboh secara haram oleh Israel.

Sejak permulaan konflik Syria pada 2011, Israel sudah melancarkan ratusan serangan di Syria, kebanyakannya menyasarkan tentera kerajaan selain pasukan bersekutu tentera Iran dan pejuang Lubnan dari kumpulan Hezbollah.

SANA, yang memetik sumber tentera, melaporkan bahawa pada awal pagi semalam, pihak pertahanan udara Syria mengesan pergerakan kapal perang Israel dan beberapa peluru berpandu ditembak ke arah wilayah tengah.

“Serangan peluru berpandu itu berjaya dipatahkan tanpa satu pun sampai ke sasaran,” katanya.

Pertengahan Februari lalu, serangan Israel terhadap lapangan terbang di Damsyik mengorbankan tujuh pejuang Syria dan Iran, berdasarkan laporan badan pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights, berpangkalan di Britain. - AFP

Berita Harian X