Jumaat, 21 Februari 2020 | 7:21pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Institut Virologi Wuhan nafi menjadi punca virus

BEIJING: Institut Virologi Akademi Sains China di Wuhan menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa penularan COVID-19 berlaku kerana kecuaian institusi itu.

Baru-baru ini, penyelidik institut terbabit, Chen Quanjiao, menafikan teori konspirasi didedahkan seorang pengguna Sina Weibo dikenali Weiketiezhi, yang mendakwa ketua institut itu adalah punca penularan wabak itu.

Pengguna itu mendakwa, ketua institut berkenaan, Wang Yanyi, menjual haiwan eksperimen dan secara tidak langsung menjadi punca ‘kebocoran’ dan penularan virus itu dari makmal penyelidikan.

Virus COVID-19 mula dikesan berjangkit daripada hidupan liar, kemungkinan besar kelawar dan ular, dari pasar hidupan liar di Wuhan Disember lalu sebelum menular ke lebih 25 negara.

Biarpun pasukan penyelidik institut virologi itu turut mengkaji epidemik coronavirus bagi menghasilkan vaksin, mereka sering menjadi sasaran khabar angin dan laporan tidak tepat kononnya bertanggungjawab terhadap ‘kebocoran’ virus itu.

Institut Virologi Akademi Sains China, dalam sepucuk surat Rabu lalu, menegaskan institut itu akan terus bekerja keras mencari vaksin bagi mengubati jangkitan itu.

Institut yang ditubuhkan pada 1956 itu adalah agensi penyelidikan virologi utama di China dan makmal biosekuriti peringkat tinggi di Asia.

Namun, ia diasak khabar angin dan kontroversi sejak bermulanya penularan wabak itu termasuk dakwaan COVID-19 adalah virus buatan manusia dan berlaku kebocoran di makmal institut biosekuriti tahap P4 itu.

Malah, kewibawaan pengarah institut itu turut dipersoalkan, selain kakitangan dan pengurusan agensi itu diserang berikutan ada pihak mendakwa pesakit pertama virus terbabit adalah salah seorang pelajar siswazah di sana.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar, Geng Shuang, berkata tindakan itu berniat buruk.

“Malah, ia menarik perhatian saluran media tertentu yang menerbitkan kenyataan sensasi bahawa COVID-19 adalah senjata biologi yang bocor dari sebuah makmal penyelidikan.

“Saya menyokong penuh penyelidik China, pekerja kesihatan dan pasukan perubatan yang menggadai nyawa bersungguh-sungguh memerangi wabak ini.

“Kerajaan China berharap masyarakat antarabangsa akan terus bekerjasama menentang teori konspirasi dan mana-mana ‘virus politik’ semasa memerangi COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama ditandatangani 27 saintis terkemuka bidang kesihatan awam di dunia dan diterbitkan oleh jurnal Lancet. - AGENSI

Berita Harian X