X
Khamis, 6 Februari 2020 | 2:02pm
Cahaya di udara dipercayai peluru berpandu yang dilancarkan, dapat dilihat dari Damsyik, Syria, November tahun lalu. - Foto Reuters
Cahaya di udara dipercayai peluru berpandu yang dilancarkan, dapat dilihat dari Damsyik, Syria, November tahun lalu. - Foto Reuters

Pertahanan udara Syria pintas peluru berpandu Israel

KAHERAH: Pertahanan udara Syria berjaya memintas peluru berpandu Israel di ruang udara ibu kota Damsyik, lapor media negara itu pada Khamis, tanpa menyatakan sasaran serangan berkenaan.

Ikhbariyah TV melaporkan, serangan itu dilancarkan dari Golan Heights dan melalui ruang udara Lubnan.

Agensi berita negara itu, SANA, melaporkan pertahanan udara menembak jatuh kebanyakan peluru berpandu terbabit sebelum ia tiba ke sasaran.

Setakat ini, tiada sebarang laporan awal berhubung kerosakan atau kematian.

Pemerhati perang berpusat di British, Observatory for Human Rights, berkata beberapa peluru berpandu menyasarkan tentera Kerajaan Syria dan militia Iran berhampiran Damsyik, termasuk di bandar al-Kiswa serta lapangan terbang tentera Mezze.

Israel berulang kali mengebom militia disokong Iran di Syria, menyatakan ia bermatlamat menamatkan kehadiran tentera Tehran.

Bulan lalu, tentera Syria berkata, pesawat perang Israel menyerang pangkalan udara utama T4 di wilayah Homs, manakala pertahanan udaranya menembak jatuh beberapa peluru berpandu dalam serangan yang hanya menyebabkan beberapa kerosakan.

Disember lalu, mereka memaklumkan sistem pertahanan udara berjaya memintas peluru berpandu dilancarkan dari arah Israel yang disasarkan terhadap pinggir Damsyik. - REUTERS

Berita Harian X