Ahad, 3 November 2019 | 9:18am

Letupan bom ragut nyawa 8 pelajar di Afghanistan

KABUL: Lapan kanak-kanak terbunuh susulan letupan bom yang ditanam di tepi jalan berhampiran sekolah mereka di wilayah Takhar di timur laut Afghanistan, kata pegawai.

Ketua polis wilayah, Sayed Mehraj Sadat, berkata mangsa serangan semalam itu berusia antara 10 dan 15 tahun.

Katanya, berkemungkinan besar bom mensasarkan pasukan keselamatan Afghanistan yang kerap menggunakan jalan itu.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab di atas serangan itu.

Sadat menyalahkan militan Taliban yang aktif di Takhar, terutama di Darqad, lokasi serangan dilancarkan.

Oktober lalu, Taliban melancarkan serangan berskala besar di beberapa daerah, termasuk ibu negeri wilayah itu, Taluqan, yang berjaya ditangkis pasukan keselamatan.

Rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Taliban berakhir pada September selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan perjanjian itu ‘sudah mati’. — Agensi

Berita Harian X