Sabtu, 11 Mei 2019 | 9:45pm
Tujuh kanak-kanak maut selepas terpijak periuk api di Ghazni, Afghanistan.
Tujuh kanak-kanak maut selepas terpijak periuk api di Ghazni, Afghanistan.

Tujuh kanak-kanak terbunuh di Afghanistan

GHAZNI: Tujuh kanak-kanak maut, manakala dua lagi cedera selepas mangsa terpijak periuk api di selatan Afghanistan, hari ini.

Jurucakap kerajaan wilayah, Aref Noori memberitahu AFP, kejadian berlaku di wilayah Ghazni, di selatan Kabul, ketika mangsa sedang bermain berhampiran sebatang jalan utama.

“Periuk api itu dipasang oleh pihak Taliban di jalan utama bertujuan mengancam keselamatan pasukan keselamatan,” katanya.

Namun, pihak Taliban enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu.

Pemberontak sering memasang periuk api dan bom di tepi jalan raya, yang menyasar pasukan keselamatan Afghanistan, namun ia juga sering meragut nyawa orang awam.

Sementara itu, anggota majlis wilayah Ghazni, Amanullah Kamrani, berkata kanak-kanak terbabit berusia antara tujuh hingga sembilan tahun dan sekurang-kurangnya empat daripada mereka, adalah daripada satu keluarga.

Konflik yang berlanjutan selama beberapa tahun di Afghanistan, menyebabkan negara itu dipenuhi dengan periuk api, mortar yang tidak meletup, roket dan bom buatan sendiri.

Bahan letupan itu sering menjadi pilihan kanak-kanak yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi.

Bulan lalu, tujuh kanak-kanak terbunuh, manakala 10 lagi cedera di Laghman, wilayah di timur negara itu, apabila mortar meletup ketika kesemua mangsa sedang bermain dengannya.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 3,804 orang awam, termasuk lebih 900 kanak-kanak, maut di Afghanistan pada 2018, sementara 7,000 lagi cedera. - AFP

Berita Harian X