Sabtu, 13 Oktober 2018 | 8:09pm

12 maut bom motosikal meletup di Afghanistan

KUNDUZ: Sekurang-kurangnya 12 maut selepas sebuah motosikal yang diletakkan bahan letupan, meletup di tengah-tengah sekumpulan penyokong seorang calon pilihan raya, kata pegawai dalam serangan terbaru terhadap perhimpunan politik di Afghanistan.

Insiden keganasan yang berkaitan dengan undian parlimen menyebabkan ratusan orang maut atau cedera sejak beberapa bulan kebelakangan ini selain serangan militan dijangka berlaku banyak berlaku menjelang pilihan raya Afghanistan pada 20 Oktober depan.

Menurut jurucakap gabenor wilayah, Mohammad Jawad Hejri, seramai 32 orang cedera dalam letupan sama yang berlaku di wilayah timur laut Takhar di mana calon parlimen Nazifa Yousefibek sedang menjalankan kempennya.

Tambahnya, beberapa ambulans sudah dikejarkan ke daerah terpencil yang terletak di Rustaq, sementara mangsa cedera sedang dibawa ke hospital.

Sementara itu, jurucakap polis wilayah, Khalil Assir meletakkan jumlah kematian seramai 13 orang. Walau bagaimanapun, Yousefibek tidak cedera dalam insiden letupan itu.

“Bom itu diletakkan di atas motosikal dan diletupkan di tengah-tengah penyokong seorang calon wanita di daerah Rustaq,” kata Assir. -AFP.

Berita Harian X