Selasa, 18 September 2018 | 9:18pm

Syria tersilap tembak jatuh pesawat Russia

BEIRUT: Syria tidak sengaja menembak jatuh pesawat tentera Russia, mengorbankan kesemua 15 krunya apabila pertahanan udaranya bertindak ke atas serangan peluru berpandu Israel, kata tentera Russia dan Israel hari ini.

Insiden lewat semalam adalah kes terburuk serangan ke atas sekutu rapat sejak campur tangan tentera Russia pada September 2015.

Pesawat Ilyushin Russia hilang dari radar di atas Laut Mediterranean sejurus selepas Turki dan Russia mengumumkan satu perjanjian yang menawarkan penangguhan serangan ketenteraan terhadap jutaan penduduk di utara Syria.

Tiada kenyataan dikeluarkan Damsyik, namun serangan udara berturut bermula apabila peluru berpandu Israel menyerang rantau tepi pantai Latakia semalam.

Israel mengesahkan ia menyasar kemudahan tentera Syria di mana sistem pengeluaran senjata ‘bakal dipindahkan bagi pihak Iran’ kepada kumpulan Syiah Lubnan, Hizbullah.

Ia melahirkan ‘kesedihan’ atas kematian di pihak Russia, namun menegaskan pesawat Russia jatuh akibat ‘serangan hebat dan tidak tepat peluru berpandu permukaan ke udara Syria.’

Pesawat itu ditembak jatuh pertahanan udara S-200 buatan Russia milik Syria dan memiliki kru berjumlah 15 orang yang kesemuanya terbunuh, kata Moscow.

Tentera Russia mendakwa juruterbang Israel menyerang sasaran Syria dengan menggunakan ‘pesawat Russia sebagai pelindung, mendedahkannya kepada serangan daripada pertahanan udara Syria.’

Namun Israel menafikan tuduhan itu, mengatakan ‘apabila tentera Syria melancarkan peluru berpandu yang mengenai pesawat Russia, jet Israel sudah berada dalam ruang udaranya.’

Kerajaan Russia menegaskan, insiden itu tidak memberi kesan terhadap perjanjian Idlib, namun memberi amaran kepada Israel pihaknya akan bertindak balas serta memanggil wakilnya di Moscow. -AFP

Berita Harian X