Selasa, 28 Ogos 2018 | 7:47am

Russia nafi jet pejuang bom sempadan Afghanistan-Tajikistan

KABUL: Sebuah pesawat Tajikistan atau Russia mengebom daerah sempadan di timur laut Afghanistan ketika pertembungan antara lelaki bersenjata dan pengawal sempadan Tajik, menyebabkan enam lelaki bersenjata terbabit terbunuh selepas mereka membunuh dua pengawal.

Pertembungan merentasi sempadan jarang berlaku di sempadan Afghanistan dengan Tajikistan, berbanding di sepanjang sempadan timur dengan Pakistan.

Jurucakap polis wilayah Takhar, Khalil Asir berkata, tidak jelas jika ia pesawat Russia atau Tajikistan yang melakukan pengeboman kelmarin di daerah Durqad dalam wilayah Takhar namun lapan militan Taliban terbunuh manakala enam cedera.

Sementara itu, jurucakap gabenor wilayah Takhar, Jawed Hejri juga berkata, tidak jelas dari mana pesawat datang namun beliau berkata, enam yang terbunuh dalam pertembungan dengan anggota sempadan Tajik adalah penyeludup dadah.

“Identiti penyeludup dadah tidak diketahui,” kata Hejri.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengesahkan pertembungan itu namun berkata, ia meletus antara penyeludup dadah dan pengawal sempadan Tajik dengan pesawat mengebom kawasan hutan digunakan penyeludup terbabit.

“Kami sedang menyiasat perkara ini oleh kerana pejuang Taliban tiada kebenaran untuk bertembung dengan negara jiran.

Sementara itu di MOSCOW, agensi berita RIA memetik Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoygu sebagai berkata semalam, negaranya bukan dalang di sebalik serangan udara di utara Afghanistan dan pesawat tenteranya tidak menjalankan sebarang operasi berhampiran sempadan negara itu dengan Tajikistan. -Reuters

Berita Harian X