Selasa, 24 Julai 2018 | 8:51pm
ASAP dua peluru berpandu Patriot dilancarkan ke arah sebuah jet pejuang Sukhoi Syria dapat dilihat keluar dari kawasan pagar antara Syria dan Bukit Golan diduduki Israel. - Foto Reuters
ASAP dua peluru berpandu Patriot dilancarkan ke arah sebuah jet pejuang Sukhoi Syria dapat dilihat keluar dari kawasan pagar antara Syria dan Bukit Golan diduduki Israel. - Foto Reuters

Israel tembak jatuh jet pejuang Syria

BAITULMAQDIS: Israel menembak jatuh sebuah jet pejuang Syria menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara hari ini selepas pesawat itu menceroboh ruang udaranya, kata tentera dalam satu insiden jarang berlaku yang mungkin mencetuskan ketegangan.

Israel memberi isyarat, pencerobohan jet pejuang itu mungkin mengakibatkan pertempuran dalaman dalam perang saudara Syria, namun menegaskan ia akan menguatkuasakan garisan gencatan senjata antara dua negara.

"Tidak berapa lama tadi, dua peluru berpandu Patriot dilancarkan ke arah sebuah jet pejuang Sukhoi Syria yang menceroboh ruang udara Israel.

"IDF (Pasukan Pertahanan Israel) memantau kemaraan jet pejuang yang menceroboh sejauh kira-kira dua kilometer ke dalam ruang udara Israel. Ia kemudian dipintas peluru berpandu Patriot," kata IDF dalam satu kenyataan.

Satu sumber tentera Syria mengesahkan, Israel menembak ke arah satu daripada pesawat perangnya namun berkata, jet pejuang itu menjalankan operasi memerangi militan dalam wilayah Syria.

"Israel menyasar satu daripada pesawat perang kami dalam ruang udara Syria," kata sumber dipetik agensi berita SANA. Sumber tidak mengatakan jika jet pejuang itu terkena tembakan.

Ia adalah kali pertama Israel menembak jatuh sebuah jet pejuang Syria sejak 2014.

Seorang koresponden AFP berkata, api dan asap dapat dilihat keluar dari kawasan pagar antara Syria dan Bukit Golan diduduki Israel.

Tentera berkata, ada peningkatan dalam 'pertempuran dalaman di Syria' termasuk membabitkan tentera udara sejak pagi. -AFP

Berita Harian X