Selasa, 26 Jun 2018 | 11:59am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Peluru berpandu Israel bedil Damsyik

DAMSYIK : Dua peluru berpandu Israel dilaporkan membedil kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik, tetapi tiada sebarang maklumat lanjut diperoleh setakat ini.

Agensi berita rasmi Syria pada awal pagi tadi dilaporkan sebagai berkata "dua peluru berpandu Israel dilancarkan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik".

Ketua Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, peluru berpandu Israel membedil depoh senjata Hizbullah yang terletak berhampiran lapangan terbang berkenaan.

Katanya, serangan udara itu berlaku pada jam 1 pagi waktu tempatan tanpa sebarang letupan besar walaupun berlaku ke atas depoh penyimpanan senjata.

Beliau menambah, sistem pertahanan udara Syria gagal memintas peluru berpandu terbabit.

Israel sebelum ini memberi amaran berhubung kekuatan pasukan tentera Iran yang semakin bertambah di negara jiran Syria, dan dianggap sebagai mengancam keselamatan mereka.

Rejim Zionis itu kerap melancarkan serangan ke atas pasukan Iran dan sekutu mereka di Syria, termasuk serangan di pangkalan pasukan separa tentera Iraw di timur Syria pada 17 Jun lalu. - AFP

Berita Harian X