Khamis, 7 Jun 2018 | 9:57am
SEKURANG-KURANGNYA 16 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera selepas depot senjata meletup di Sadr City. - Foto REUTERS
SEKURANG-KURANGNYA 16 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera selepas depot senjata meletup di Sadr City. - Foto REUTERS

16 maut, depot senjata meletup di Baghdad

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera selepas depot senjata meletup di Sadr City, Iraq lewat semalam, kata sumber keselamatan dan perubatan.

"Depot senjata itu meletup dan pasukan keselamatan sudah membuka siasatan untuk menentukan puncanya," kata ketua operasi keselamatan Baghdad dalam satu kenyataan.

Sumber polis memberitahu AFP, letupan itu disebabkan oleh senjata berat, termasuk bom tangan dan peluru berpandu roket, milik sebuah kumpulan bersenjata dan disimpan di dalam sebuah rumah.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan kira-kira 32 cedera dalam letupan itu.

Sumber perubatan mengesahkan angka korban dengan sebahagian mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Sumber memberitahu letupan berlaku berhampiran masjid Syiah di daerah timur laut Baghdad.

Saksi turut melaporkan kerosakan harta benda serius termasuk kediaman dan bangunan komersil di Sadr City, yang juga kubu kuat ulama populis Syiah, Moqtada Sadr. - AFP

Berita Harian X