Isnin, 9 April 2018 | 4:40pm
KEADAAN bangunan di bandar Zamalka, Ghouta Timur, Syria. - Foto EPA
KEADAAN bangunan di bandar Zamalka, Ghouta Timur, Syria. - Foto EPA

Israel serang pangkalan udara Syria

MOSCOW: Media tempatan Syria memetik sumber tentera berkata hari ini, jet pejuang Israel F-15 menjalankan serangan peluru berpandu semalaman ke atas pangkalan udara utama di tengah negara itu.

Agensi berita SANA melaporkan, serangan Israel ke atas lapangan terbang T4 dilakukan menggunakan pesawat perang F-15.

"Serangan Israel ke atas lapangan terbang T4 dilakukan menggunakan pesawat F-15, melepaskan beberapa peluru berpandu dari ruang udara Lubnan," kata SANA.

Sementara itu, laporan agensi Interfax berkata, dua jet pejuang F-15 milik Israel melakukan serangan udara dengan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) melaporkan, 14 maut dalam insiden itu termasuk beberapa militan pelbagai kerakyatan, merujuk anggota militia Syiah disokong Iran.

Agensi itu memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Russia sebagai berkata, pesawat perang Israel menjalankan serangan dari ruang udara Lubnan dan sistem pertahanan udara berjaya menembak jatuh lima daripada lapan peluru berpandu yang digunakan.

Bagaimanapun, jurucakap tentera Israel tidak memberikan ulasan ketika ditanya mengenai kenyataan Russia itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat (AS) menafikan menyerang pangkalan udara Syria, begitu juga Perancis.

"Ketika ini, Jabatan Pertahanan tidak menjalankan sebarang serangan udara di Syria. Bagaimanapun, kami terus memantau rapat situasi dan menyokong usaha diplomatik berterusan bagi mempertanggungjawabkan pihak yang menggunakan senjata kimia di Syria," kata Pentagon dalam satu kenyataan. -Reuters

Berita Harian X