Selasa, 7 Februari 2023 | 3:32pm
Jun tahun lalu, Thailand mengeluarkan ganja perubatan daripada senarai narkotik yang diharamkan untuk kegunaan atau pengedaran dan menjadikan ia sah untuk kegunaan perubatan serta masakan. - Foto AP
Jun tahun lalu, Thailand mengeluarkan ganja perubatan daripada senarai narkotik yang diharamkan untuk kegunaan atau pengedaran dan menjadikan ia sah untuk kegunaan perubatan serta masakan. - Foto AP

Thailand bergelut mengawal penjualan ganja, membendung penyalahgunaan

BANGKOK: Thailand memperketatkan peraturan berkaitan ganja di negara itu dengan mengeluarkan panduan dan langkah baharu bertujuan mengekang peningkatan tinggi dalam penggunaan secara rekreasi dadah berkenaan.

Akhbar Nikkei melaporkan, ia kemungkinan besar menjadi topik utama dalam pilihan raya Thailand yang dijadualkan Mei ini.

Bulan lalu, kerajaan berkata, pengenalan diri akan diperlukan bagi pembelian tunas bunga ganja, yang kaya dengan sebatian halusinogen.

Bangkok berhasrat memasukkan maklumat pembeli ke dalam pangkalan data nasional bagi menjejak dan menganalisis penjualan dan pembelian ganja.

Perniagaan yang gagal mematuhi peraturan berisiko dibatalkan lesen jualan.

Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa juga meningkatkan pengawasan terhadap peniaga dan menahan lebih 30 orang setakat Januari lalu di kawasan seperti Bangkok serta bandar peranginan, Pattaya kerana menjual tanpa lesen.

Usaha bagi mencegah penyalahgunaan bahan itu oleh pelancong asing turut diperkukuh, yang mana bulan lalu, kementerian kesihatan awam mengeluarkan 10 garis panduan untuk pelancong menggunakan ganja di Thailand, termasuk syarat untuk membeli dan menanam.

Garis panduan itu juga memberi amaran bahawa orang yang menghisap ganja di tempat awam boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda 25,000 baht (RM3,065).

Jun tahun lalu, Thailand mengeluarkan ganja perubatan daripada senarai narkotik yang diharamkan untuk kegunaan atau pengedaran dan menjadikan ia sah untuk kegunaan perubatan serta masakan.

Rekreasi tidak termasuk dalam penggunaan yang dibenarkan, namun undang-undang negara itu tidak dapat mengawal penggunaannya yang meluas.

Menteri kesihatan awam, Anutin Charnvirakul, berkata dispensari ganja tidak dibenar mempamerkan papan tanda yang mengiklankan barangan mereka.

Bagaimanapun, beberapa kedai terus mempamerkan papan tanda yang memaparkan daun ganja dan sesetengah penjual di Bangkok memberi maklumat kepada pembeli mengenai kawasan merokok yang berdekatan.

Kementerian kesihatan memaklumkan, purata jumlah kes bulanan, membabitkan gangguan terhadap kesedaran dan isu lain akibat penggunaan ganja meningkat empat kali ganda sejak kebenaran itu diberikan.

Peraturan mengenai ganja mencetuskan ketegangan dalam gabungan pemerintah Thailand.

Parti Bhumjaithai menyokong langkah 'menghalalkan' ganja, namun rang undang-undang bagi memperketat kawalan penggunaan dadah itu gagal diluluskan pada September selepas dibantah ahli gabungan, Parti Demokrat, yang mengatakan ia mempunyai terlalu banyak kelemahan.

Hubungan semakin renggang antara kedua-dua parti itu, dengan pilihan raya yang semakin hampir. - AGENSI

Berita Harian X