Ahad, 5 Februari 2023 | 11:01pm
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno. - FOTO BERNAMA
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno. - FOTO BERNAMA

ASEAN perlu kembali lebih kuat capai pelancongan berkualiti, mampan

JOGJAKARTA: Negara anggota ASEAN perlu bersama-sama menjadi lebih kuat dalam menempuh fasa pemulihan pandemik COVID-19 supaya dapat mencapai tahap pelancongan yang berkualiti dan mampan.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno, berkata memandangkan blok serantau itu menyediakan persekitaran untuk kestabilan, keamanan dan kesalinghubungan, adalah penting untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat dunia bahawa ASEAN kembali lebih kuat.

"Walaupun terdapat begitu banyak ketidaktentuan, ketidakstabilan dan kerumitan dari segi situasi pasca pandemik, kita sememangnya pusat pertumbuhan.

"Kita kaya dengan alam semula jadi dan budaya. Oleh itu, ada keperluan mendesak untuk pulih bersama-sama, terutama dalam aspek kualiti serta pelancongan yang mampan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-26 Menteri Pelancongan ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan (ATMM26), di sini, hari ini.

Mesyuarat itu diadakan di luar Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2023 yang berlangsung selama lima hari, berakhir hari ini.

"Bermula daripada Forum Pelancongan ASEAN 2023, kita perlu (juga) menjadi lebih inklusif, menggalakkan pembabitan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, perwakilan wanita dalam sektor pelancongan serta penyertaan generasi muda.

"Sudah tentu kita perlu turut mencipta peluang pekerjaan berkualiti," katanya ketika menjawab soalan mengenai mesej ingin disampaikan Indonesia kepada dunia melalui ATF 2023, terutama hampir tiga tahun selepas pandemik COVID-19 melanda.

Senada dengan Sandiaga, Timbalan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam, Doan Van Viet, berkata negara anggota ASEAN harus terus mempromosikan kesinambungan dan memudahkan prosedur serta dasar dari segi visa.

"Mengenai fasa pasca pandemik, tidak syak lagi bahawa ASEAN harus mengikuti dan meneruskan strategi semasa ke arah membangunkan aktiviti pelancongan di rantau ini. Kita juga harus mempertimbangkan untuk membuat pelarasan berhubung situasi terkini.

"Kesalinghubungan adalah penting untuk mempromosikan lagi pasaran kita kepada dunia, serta visa. Dengan mempromosikan nilai budaya sebenar bagi setiap negara anggota, ia akan membantu kita bersama-sama mencapai hasil yang baik dalam sektor pelancongan," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Kebudayaan, Penerangan dan Pelancongan Laos, Suanesavanh Vignaket; serta Setiausaha Jabatan Pelancongan Filipina, Christina Garcia Fasco.

ATF 2023 yang bertema 'ASEAN: A Journey to Wonderful Destinations', adalah acara pelancongan terbesar di rantau ini bertujuan membangunkan destinasi pelancongan serantau dan antarabangsa, serta mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.

Indonesia yang juga Pengerusi ASEAN 2023, pernah berkhidmat sebagai Pengerusi ASEAN pada 2011, 2003, 1996 dan 1976. – BERNAMA

Berita Harian X