Ahad, 5 Februari 2023 | 4:50pm
Rasmus Paludan, ketua parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs (Hard Line). - FOTO REUTERS
Rasmus Paludan, ketua parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs (Hard Line). - FOTO REUTERS

Menteri-menteri Luar ASEAN kecam keras ekstremis bakar al-Quran

JAKARTA: Menteri-menteri Luar ASEAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau di negara tertentu, yang membakar dan mencemarkan kitab suci al-Quran pada bulan lalu.

"Tindakan itu telah menyakiti dan mencemarkan toleransi beragama," menurut kenyataan Pengerusi Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN dan Pemukiman Menteri-menteri Luar, hari ini.

Perhimpunan tahunan Menteri-menteri Luar ASEAN menegaskan bahawa kebebasan bersuara mesti dilaksanakan dengan cara bertanggungjawab.

Mereka mengesahkan komitmen ASEAN untuk terus menggalakkan dialog dan persefahaman serta kewujudan bersama secara aman dan harmoni dalam komuniti global yang pelbagai.

Pada 21 Januari lalu, Rasmus Paludan, ketua parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs (Hard Line), membakar salinan al-Quran di hadapan sebuah masjid di Denmark, beberapa hari selepas dia membakar al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Sweden.

Dalam provokasi lain, ketua kumpulan Islamofobia Pegida, Edwin Wagensveld membakar halaman al-Quran di The Hague pada 22 Januari lalu sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, Menteri-menteri Luar ASEAN turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelancaran peluru berpandu balistik dan ujian peluru berpandu balistik antara benua oleh Korea Utara, baru-baru ini.

Mereka menekankan pentingnya dialog secara aman yang berterusan demi merealisasikan keamanan dan kestabilan berkekalan di Semenanjung Korea.

"Kami menggesa semua pihak berkaitan supaya mengelak sebarang perbuatan dan tindak balas ketenteraan yang boleh meningkatkan ketegangan," kata mereka.

Selain itu, situasi di Laut China Selatan juga dibincangkan, termasuk berkaitan tebus guna tanah, perkembangan terkini dan insiden serius yang menghakis kepercayaan serta keyakinan.

Menteri-menteri Luar turut menegaskan akan keperluan untuk meneruskan penyelesaian secara aman berhubung pertikaian itu bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut. – BERNAMA

Berita Harian X