Jumaat, 3 Februari 2023 | 7:31pm
Presiden Jokowi juga menggesa perpaduan dan kemajuan mengenai krisis Myanmar pada permulaan rundingan antara menteri luar serantau hari ini. - Foto AP
Presiden Jokowi juga menggesa perpaduan dan kemajuan mengenai krisis Myanmar pada permulaan rundingan antara menteri luar serantau hari ini. - Foto AP

Indonesia gesa pihak luar tidak menggunakan ASEAN sebagai 'proksi'

JAKARTA: Indonesia menggesa kuasa besar tidak menggunakan Asia Tenggara sebagai 'proksi' terhadap saingan mereka dan meminta berganding bahu dalam krisis Myanmar, pada rundingan dua hari antara menteri luar serantau itu.

Ekonomi terbesar di Asia Tenggara ialah pengerusi 10 anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk 2023 dan pada akhir tahun ini akan menjadi tuan rumah mesyuarat tahunan pemimpin blok itu, yang biasanya turut disertai oleh China dan Amerika Syarikat (AS).

Pertikaian mengenai Laut China Selatan turut menyebabkan beberapa anggota ASEAN menentang Beijing dan meningkatkan simpati terhadap penentangan AS terhadap ketegasan China yang semakin meningkat, tetapi yang lain turut menunjukkan sokongan dalam isu sejajar dengan kuasa besar Asia itu.

Menteri Luar, Retno Marsudi, berkata Presiden Indonesia, Joko Widodo memberitahu menteri ASEAN dalam perbincangan sebelum mesyuarat bahawa ASEAN tidak sepatutnya menjadi proksi bagi mana-mana pihak, mengulangi gesaan yang dibuatnya pada sidang kemuncak pemimpin ASEAN di Kemboja tahun lalu.

Isu lain yang mendominasi perbincangan ialah krisis di Myanmar yang diperintah oleh tentera, yang bergolak sejak tentera merampas kuasa pada 2021.

Junta kekal sebagai anggota ASEAN tetapi dihalang daripada menghadiri sidang kemuncak peringkat atasan kerana tiada kemajuan dalam rancangan blok itu untuk mencapai keamanan antara tentera dan gerakan antirampasan kuasa Myanmar.

Menteri Luar Myanmar, Than Swe yang dilantik minggu ini juga tidak hadir pada rundingan ASEAN itu memandangkan blok itu enggan menjemput anggota junta dan hanya meminta wakil bukan politik, tetapi tawaran ditolak oleh Naypyidaw.

Terdapat sedikit pergerakan mengenai "konsensus lima perkara" yang dipersetujui antara ASEAN dan junta pada April 2021 yang menggesa agar keganasan dan dialog dihentikan segera antara tentera dan pemberontak.

Namun, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi menegaskan bahawa konsensus lima perkara pemimpin ASEAN harus menjadi perjanjian utama untuk membantu penyelesaian masalah di Myanmar. - AFP

Berita Harian X