Jumaat, 3 Februari 2023 | 4:41pm
Menteri Luar Indonesia Rento Marsudi (kanan) mengalu-alukan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-32 di Jakarta. - Foto AGENSI
Menteri Luar Indonesia Rento Marsudi (kanan) mengalu-alukan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-32 di Jakarta. - Foto AGENSI

Zambry, menteri ASEAN bertemu Jokowi sebelum mesyuarat ACC

JAKARTA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama menteri-menteri ASEAN mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo sebelum Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32 di sini, hari ini.

Pertemuan bersama Joko Widodo atau lebih mesra dipanggil Jokowi itu berlangsung di Istana Merdeka, dalam rangka agenda sempena siri mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM).

Pelbagai perkara dibincangkan termasuk usaha mengukuhkan ASEAN dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota.

"Ini penting untuk memastikan ASEAN terus dihormati sebagai blok serantau yang mantap.

"Rantau ini perlu mengelak daripada dipengaruhi oleh mana-mana kuasa dan mengekalkan prinsip yang dipegang dan diperjuangkan oleh ASEAN selama ini," kata Zambry kepada media Malaysia hari ini.

Zambry berkata, nada sama turut dinyatakan Jokowi mengenai perlunya semua negara bekerjasama untuk memastikan agar rantau ASEAN terus terpelihara dari segi keamanan dan kebersamaan.

ASEAN perlu bebas tanpa ada ganggu-gugat dari mana-mana pihak atau terpengaruh dengan mana-mana kuasa sehingga memerangkap rantau ini ke dalam satu krisis pada jangka masa panjang, katanya.

Mesyuarat ACC yang bermula 2.30 petang di Sekretariat ASEAN berlangsung tanpa kehadiran wakil dari Myanmar dan telah dimulakan dengan 'working lunch' yang membahas isu Myanmar.

- BERNAMA

Berita Harian X