JAKARTA: Bank pusat Indonesia menaikkan kadar faedah utamanya hari ini, pada kadar lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya, berikutan pengurangan kadar inflasi di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Bank Indonesia menaikkan kadar dasar sebanyak 0.25 mata asas kepada 5.50 peratus daripada 5.25 peratus, sejajar dengan jangkaan penganalisis.
Kenaikan terbaru itu bermakna Bank Indonesia meningkatkan kadar faedahnya sebanyak 200 mata asas tahun ini, menyertai bank pusat lain di seluruh dunia dalam mengetatkan kewangan untuk melawan inflasi yang melambung tinggi.
Inflasi global sebahagiannya didorong oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine yang mencetuskan kenaikan harga tenaga dan makanan di seluruh dunia, selain rantaian bekalan dan isu ekonomi berkaitan pandemik.
Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo berkata kenaikan kadar faedah dilaksanakan bagi memastikan inflasi dan jangkaan di sekelilingnya terus menurun.
Kadar inflasi dicatatkan pada 5.45 peratus bagi tempoh tahun ke tahun pada November lalu, lebih rendah daripada jangkaan bank pusat itu sebelum ini.
Warjiyo berkata, Bank Indonesia akan terus menentu ukur dasar kewangan tahun depan untuk memastikan kestabilan ekonomi dalam jangkaan kemerosotan ekonomi global pada 2023.
Ketua bank pusat itu berkata, ekonomi Indonesia masih berada pada kedudukan yang baik berikutan permintaan domestik dan eksport komoditi yang kukuh, manakala beberapa sektor ekonomi termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit juga menunjukkan pertumbuhan yang teguh.
"Dengan perkembangan sedemikian, pertumbuhan ekonomi 2022 dijangka kekal menaik antara 4.5 peratus dan 5.3 peratus," katanya.
Beliau mengunjurkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia akan berkembang pada 4.9 peratus tahun depan, kadar yang lebih perlahan berbanding 2022 - di tengah-tengah jangkaan kelembapan ekonomi global.
Bank Dunia mengunjurkan KDNK Indonesia berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun ini dan perlahan kepada 4.8 peratus tahun depan.
Bank pusat mungkin akan mengurangkan kawalannya, kata Ahli Ekonomi Kanan Asia Capital Economics, Gareth Leather.
"Kami menjangkakan 50 mata asas lagi daripada jumlah kenaikan dalam beberapa bulan akan datang sebelum bank pusat menutup kitaran pengetatannya pada awal tahun depan," kata Leather. - AFP