Jumaat, 2 Disember 2022 | 3:42pm
Timbalan menteri kehakiman, Edward Omar Sharif Hiariej, berkata kanun jenayah baharu itu tidak akan mengancam kebebasan demokrasi. - Foto Twitter/@eddyhiariej
Timbalan menteri kehakiman, Edward Omar Sharif Hiariej, berkata kanun jenayah baharu itu tidak akan mengancam kebebasan demokrasi. - Foto Twitter/@eddyhiariej

Indonesia bakal kenakan hukuman penjara seks di luar nikah

JAKARTA: Parlimen Indonesia dijangka meluluskan kanun jenayah baharu bulan ini yang mengenakan hukuman penjara sehingga setahun bagi kesalahan seks di luar perkahwinan, seorang pegawai mengesahkannya semalam.

Pindaan undang-undang itu juga melarang tindakan menghina presiden atau institusi negara serta mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan ideologi negara berkenaan.

Bersekedudukan sebelum berkahwin juga diharamkan mengikut pindaan undang-undang itu.

Timbalan Menteri Kehakiman Indonesia, Edward Omar Sharif Hiariej, berkata, selepas beberapa dekad dibincangkan, kanun jenayah baharu itu dijangka diluluskan 15 Disember ini.

"Kami bangga kerana mempunyai kanun jenayah yang selaras dengan nilai-nilai Indonesia," katanya kepada Reuters dalam satu temu bual.

Bambang Wuryanto, ahli parlimen yang terbabit dalam draf itu, berkata kod baharu itu boleh diluluskan seawal minggu depan.

Draf itu mendapat sokongan beberapa kumpulan Islam konservatif di negara itu, manakala pembangkang menyatakan pindaan itu bertentangan dengan pembaharuan liberalisasi yang digubal selepas kejatuhan pemimpin autoritarian Suharto pada 1998.

Draf pindaan undang-undang kanun jenayah itu sebelum ini sudah/diluluskan pada 2019 tetapi mencetuskan bantahan di seluruh negara.

Puluhan ribu orang berdemonstrasi pada masa itu menentang pindaan undang-undang berkenaan yang dilihat mengawal moral dan kebebasan bersuara, yang didakwa mereka sebagai tindakan yang menyekat kebebasan awam.

Pengkritik berkata, beberapa pindaan minimum sudah dibuat kepada kanun jenayah itu, dalam pada masa yang sama kerajaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini mengadakan rundingan awam di seluruh negara untuk memberikan maklumat mengenai pindaan berkenaan.

Antara beberapa perubahan yang telah dibuat termasuk peruntukan yang membenarkan hukuman mati ditukar kepada penjara seumur hidup selepas 10 tahun berkelakuan baik.

Kesalahan pengguguran, kecuali mangsa rogol dan penjara akibat perbuatan 'sihir dan ilmu hitam', kekal dalam kanun berkenaan.

Menurut draf terbaharu pindaan undang-undang bertarikh 24 November yang dilihat Reuters, seks di luar perkahwinan, hanya boleh dilaporkan oleh pihak yang terhad seperti saudara terdekat, boleh membawa hukuman penjara maksimum setahun.

Bagi kesalahan menghina presiden, tuduhan hanya boleh dilaporkan Presiden yang mana hukuman dikenakan maksimum penjara tiga tahun.

Indonesia, negara majoriti penduduk Islam yang paling ramai di dunia, mempunyai beratus-ratus peraturan di peringkat tempatan yang mendiskriminasi wanita, minoriti agama dan golongan LGBT.

Perubahan kepada kanun itu akan menjadi 'kemunduran besar kepada demokrasi Indonesia', kata Andreas Harsono dari Human Rights Watch.

Timbalan menteri kehakiman menolak kritikan itu, berkata versi akhir draf itu akan memastikan undang-undang serantau mematuhi perundangan negara, dan kod baharu itu tidak akan mengancam kebebasan demokrasi.

Pindaan kanun jenayah itu sudah mula dibincangkan sejak Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Belanda pada tahun 1945. - REUTERS

Berita Harian X