Ahad, 13 November 2022 | 6:38pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Rundingan ASEAN-China mengenai Laut China Selatan lancar

JAKARTA: Rundingan untuk menerima pakai Kod Tata Kelakuan (COC) di Laut China Selatan berjalan lancar menurut ASEAN dan China.

Kedua-dua pihak turut mengesahkan semula penggunaan COC dapat meningkatkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Menurut kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata keadaan di Laut China Selatan sudah berubah dengan ketara sejak Deklarasi Perilaku Pihak-pihak (DOC) yang ditandatangani pada 2002.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika kedua-dua pihak berkumpul pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-25 dan Ulang Tahun ke-20 DOC, di Phnom Penh, Kemboja pada Jumaat lalu.

ASEAN dan China juga mengiktiraf pentingnya usaha untuk memperkukuh dan meningkatkan muhibah ke arah pelaksanaan sepenuhnya DOC secara berkesan.

"DOC adalah dokumen penting dalam Hubungan Dialog ASEAN-China yang merangkumi komitmen kolektif pihak-pihak untuk menggalakkan keamanan, kestabilan, saling mempercayai dan keyakinan di rantau ini.

"Ia selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS)," menurut kenyataan itu.

Malaysia adalah antara negara yang menuntut wilayah perairan yang dipertikai bersama Brunei, Indonesia, Filipina, Vietnam dan China.

Laut China Selatan yang menjadi antara laluan perdagangan paling sibuk di dunia, kaya dengan sumber marin, mineral dan mempunyai kepentingan ekonomi serta geostrategik yang besar. - BERNAMA

Berita Harian X