Khamis, 22 September 2022 | 10:41am
Gambar hiasan. - Foto fail BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto fail BERNAMA

Vaksin bivalen Moderna boleh hasilkan antibodi COVID-19 varian BA.4, BA.5

SINGAPURA: Vaksin bivalen COVID-19 oleh Moderna yang bakal digunakan di Singapura sebagai suntikan dos penggalak akan membantu menghasilkan antibodi terhadap varian Omicron BA.4 dan BA.5 juga, menurut ketua pegawai perubatan Moderna.

Awal bulan ini, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura memberi kelulusan sementara kepada vaksin dos penggalak bivalen Moderna, yang menyasarkan kedua-dua versi asli dan varian BA.1 coronavirus.

Varian BA.1 dominan di Singapura semasa gelombang awal COVD-19 Omicron, namun jumlah kes BA.4 dan BA.5 sudah pun meningkat, lapor agensi berita CNA.

Ketua Pegawai Perubatan Moderna, Dr Paul Burton memberitahu media bahawa syarikat itu mempunyai dua dos penggalak - mRNA-1273.214 yang diterima Singapura, dan mRNA-1273.222.

Dos penggalak mRNA 1273.214 menyasarkan sebahagian besarnya versi asli dan varian BA.1. Ia diberi kelulusan di Singapura, Britain, Switzerland, Kesatuan Eropah, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Australia.

Satu lagi dos penggalak menyasarkan varian BA.4 dan BA.5, dan hanya diberikan kelulusan di Amerika Syarikat.

Dr Burton berkata, vaksin bivalen yang diterima Singapura juga menghasilkan paras antibodi yang 'sangat tinggi' terhadap varian BA.4 dan BA.5.

Beliau berkata, kedua-dua dos penggalak 'sangat baik', dan ia bergantung kepada apa yang dimahukan sesebuah negara atau rantau itu.

Data daripada syarikat itu 'sangat memberi jaminan' bahawa dos penggalak BA.1 juga mewujudkan paras antibodi yang tinggi terhadap BA.4 dan BA.5, kata Dr Burton.

HSA menyatakan data awal daripada analisis tinjauan mencadangkan dos penggalak BA.1 boleh merangsang antibodi terhadap varian-varian lain, termasuk BA.4 dan BA.5 Omicron serta Alpha, Beta, Delta dan Gamma.

Setakat semalam, 93 peratus bilangan penduduk Singapura sudah mengambil vaksinasi penuh, manakala 80 peratus sudah menerima suntikan dos penggalak. - AGENSi

Berita Harian X